Selasa, 15 March 2016 | 12:03am

Cabaran hapus lanun di perairan negara

 

RAMPASAN kapal tangki MT Orkim Harmony oleh sekumpulan lanun sebelum diselamatkan di perairan Kemboja tahun lalu, menggemparkan negara sehingga memerlukan langkah konkrit serta bersepadu bagi menangani pelanunan.

 

Meskipun kegiatan pelanunan sudah wujud sejak sekian lama terutama membabitkan kejadian di perairan asing seperti di Teluk Aden, perangkaan menunjukkan peningkatan serangan lanun di rantau ini iaitu sebanyak 129 serangan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2014, kebanyakan di Indonesia, Laut China Selatan, Selat Melaka dan Selat Singapura.

Daripada semua serangan itu, 117 dikategorikan sebagai serangan serta 12 lagi cubaan menyerang dan angka itu melebihi kejadian tempoh sama pada tahun 2013 iaitu sebanyak 99 serangan.   

Dalam kejadian MT Orkim Harmony, kapal terbabit dilaporkan hilang pada 11 Jun tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Melaka ke pelabuhan Kuantan, Pahang. Kapal milik Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 6,000 tan petrol bernilai RM21 juta milik PETRONAS. 

Hasil siasatan selepas penahanan lapan lanun bertanggungjawab dalam kejadian, seramai 13 penjenayah laut terbabit dalam rampasan kapal itu dengan lima daripadanya lari ke Batam, Indonesia. Mereka juga dilaporkan sebagai lanun profesional dan pernah melakukan beberapa rompakan kapal dagang.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata kegiatan pelanunan di perairan negara antara cabaran serius yang perlu ditangani bagi memastikan keselamatan maritim terjamin.

"APPM sendiri berjaya mematahkan 67 kes serangan lanun ke atas kapal dagang di perairan negara dalam tempoh 10 tahun sejak 2004 dengan melaksanakan mengambil pelbagai inisiatif antaranya memperagakan aset menerusi rondaan dan pemantauan di kawasan panas.

"Bilik Operasi 24 jam juga diwujudkan di seluruh pejabat dan pangkalan maritim selain menempatkan anggota dan pegawai di Bilik Gerakan Jabatan Perikanan untuk memantau pergerakan bot tempatan," katanya. 

Beliau berkata, APMM turut menubuhkan Pasukan Tindak Khas yang diberi latihan profesional dan ditempatkan di kawasan panas supaya dapat bertindak cepat sekiranya berlaku kejadian kecemasan.

"Saya percaya APMM akan dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kredibiliti sebagai agensi penguat kuasa maritim tunggal negara," katanya.  

 

Modus operandi rompakan lanun      

- Naik kapal/tawan kru/rosakkan komunikasi termasuk padamkan AIS (sistem penjejakan automatik)

- Hubungi kapal lain/berkumpul di lokasi ditetapkan

- Pindah minyak tengah laut guna pam kapal tangki ke kapal lain. Anggaran enam hingga tujuh jam untuk pindah 3,500 tan bahan api MFO

- Lanun akan rompak barang bernilai dibawa kru selepas proses pindah minyak selesai

- Rosakkan navigasi kapal untuk 'melambatkan' kapal dikesan pihak berkuasa. Lanun melarikan diri guna kapal/bot lain

 

KRONOLOGI      

Kes rampasan kapal di Asia Tenggara 

      

2014

      

17 April: Kapal tangki Sri Phangnga Thailand dirampas lanun di sekitar Pulau Aur, Johor

22 April: Kapal tangki MT Naniwa Maru No 1 Singapura dirampas lanun berhampiran rumah api Fathom Bank, Selat Melaka

12 Mei: Kapal tangki MT Budi Mesra Dua Malaysia dirampas lanun di perairan Bintulu, Sarawak

28 Mei: Kapal tangki Orapin 4 Thailand dirampas lanun di sekitar Pulau Bintan, Indonesia

14 Jun: Kapal tangki Ai Maru Honduras menjadi mangsa rampasan lanun di sekitar Tanjung Sedili, Malaysia

4 Julai: Kapal tangki Moresby 9 Honduras dirampas lanun di sekitar Pulau Anambas, Indonesia

15 Julai: Kapal tangki Oriental Glory Malaysia dirampas lanun di sekitar Pulau Bintan, Indonesia

28 Ogos: Kapal tangki VL14 Thailand dirampas lanun di sekitar Pulau Tioman, Malaysia

17 September: Kapal tangki Orapin 2 Thailand dirampas lanun di sekitar Pulau Bintan, Indonesia

22 September: Kapal tangki Pentrader Malaysia dirampas lanun di sekitar pulau Phuket, Thailand

3 Oktober: Kapal tangki Sunrise 689 Vietnam dirampas lanun di sekitar Pulau Anambas, Indonesia

9 Oktober: Kapal tangki Srikandi 515 Indonesia dirampas lanun di sekitar perairan Sampit, di Kalimantan Tengah, Indonesia

15 Oktober: Kapal tangki Suratchanya Thailand dirampas lanun di sekitar Tanjung Punggai, Malaysia

21 Oktober: Kapal tangki Yufeng 6 Hong Kong dirampas lanun di sekitar Tanjung Sedili, Malaysia

      

2015

      

28 Januari: Dua kapal tangki, Sun Birdie Malaysia dan Rehobot dari Indonesia masing-masing dirampas lanun di sekitar Tanjung Ayam, Malaysia dan Pulau Lembeh, Sulawesi Utara

20 Februari: Kapal tangki Lapin Thailand dirampas lanun di sekitar Selat Melaka selepas berlepas dari Pelabuhan Klang

20 Februari: Kapal tangki Phubai Pattra 1 Thailand dirampas lanun di sekitar Pulau Aur, Malaysia

9 Mac: Kapal tangki Singa Berlian Malaysia dirampas lanun di sekitar Pulau Aur, Malaysia

22 Mac: Kapal tangki David Tide II Vanuatu dirampas lanun di sekitar Pulau Tioman, Malaysia

1 April: Kapal tangki Dongfang Glory Malaysia dirampas lanun di sekitar Pulau Uwi, Indonesia

2 Mei: kapal tangki Ocean Energy Singapura dirampas di sekitar Port Dickson, Malaysia

15 Mei: Kapal tangki Oriental Glory Malaysia dirampas di sekitar Tanjung Sirik, Malaysia

4 Jun: Kapal tangki Orkim Victory Malaysia dirampas lanun di perairan Laut China Selatan

11 Jun: Kapal tangki Orkim Harmony Malaysia dirampas di sekitar Tanjung Sedili, Malaysia

8 Ogos: Kapal tangki MT Joaquim Singapura dirampas lanun di sekitar Selat Melaka

 

Info

- 67 kes dipatahkan APMM dalam tempoh 10 tahun sejak 2004

- 129 serangan tahun 2014 di rantau ASEAN 

- lokasi panas di perairan Indonesia, Laut China Selatan, Selat Melaka dan Selat Singapura

54 dibaca
Berita Harian X