Selasa, 15 March 2016 | 2:07pm

Nadzmi Adhwa pernah jual ikan bilis


PELAKON, Nadzmi Adhwa. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Ramai tidak tahu, sebelum menjadi pelakon, Nadzmi Adhwa, 24, melakukan banyak kerja termasuk menjual ikan bilis dan tudung.

Nadzmi yang mula dikenali dalam drama Hati Perempuan yang disiarkan TV3, pernah menjual ikan bilis bersama abang di Pasar Tani Taman Melawati, dekat sini, pada hujung minggu.

"Kami buka but kereta dan menjual ikan bilis. Ketika menuntut di tingkatan dua, saya pernah menjual tudung," katanya kepada BH Online.

Nadzmi berkata, dia juga menjadi budak kaunter tiket wayang di pusat beli-belah, Suria KLCC, kira-kira enam tahun lalu.

Terbukti, sejak usia remaja, Nadzmi sudah mula mencari wang poket sendiri sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang rekaan grafik dan multimedia.

Sebaik tamat pengajian, jejaka berambut kerinting itu mencuba nasib sebagai guru sandaran pula.

"Saya jadi guru sandaran pada tahun 2013 di dua sekolah rendah di Wangsa Maju selama enam bulan. Selepas itu, saya mengajar di di sebuah sekolah di Bukit Damansara selama dua bulan.

"Saya mengajar subjek Bahasa Malaysia, Pendidikan Jasmani dan Moral. Jika diikutkan, selepas tamat pengajian di UiTM Puncak Alam, tahun lalu, saya bercadang menyambung peringkat sarjana dan mengejar cita-cita menjadi pensyarah," katanya yang mengaku suka mencari duit poket sendiri sejak bersekolah.

Tolong kakak saudara jual biskut

Terbaharu, Nadzmi membantu perniagaan biskut milik kakak saudaranya, Nadz Cookies yang mempunyai stokis di Singapura.

"Keluarga saya juga menguruskan perniagaan katering sejak lima tahun lalu dan diuruskan abang," katanya.

Calon awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu sedang melunaskan penggambaran drama Cinta Roller Coaster terbitan Suhan Movies.

139 dibaca
Berita Harian X