Sabtu, 19 March 2016 | 8:16am

Roket Russia bawa datuk ke ISS


(DARI kiri) Oleg Skriprochka, Alexey Ovchinin dan Jeff Williams. - Foto EPA

BAIKONUR: Sebuah roket Russia berlepas dari pangkalan angkasa lepas Kazakstan, semalam dengan membawa tiga kru ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) termasuk seorang datuk Amerika Syarikat yang dijangka mencipta rekod.

Roket itu berlepas dalam keadaan cuaca berangin dari pangkalan angkasa lepas di Baikonur, Kazakhstan pada jam 2126 GMT, menurut seorang wartawan AFP yang menyaksikannya.

Tiga angkasawan itu adalah Oleg Skriprochka dan Alexey Ovchinin dari Russia dan datuk dengan tiga cucu dari Amerika Syarikat, Jeff Williams yang juga seorang veteran dalam misi angkasa jangka panjang.

"Roket Soyuz berlepas dengan selamat," kata agensi angkasa Russia Roskosmos dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa kapal pembawa krew itu dijadualkan sampai ke pangkalan luar orbit pada 0311 GMT hari ini.

Kapal angkasa itu dihiasi dengan potret lelaki pertama yang memijakkan kaki di angkasa, Yuri Gagarin yang menjadi perintis penerbangan ke orbit kira-kira 55 tahun lalu pada 12 April 1961.

"Menjelang tamat misi setengah tahun di ISS, Williams akan menjadi warga Amerika dengan hari terkumpul paling banyak di angkasa iaitu 534 hari," menurut Pentadbir Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat.

Secara terkumpul, rekod angkasawan paling Amerika kini dipegang Scott Kelly awal tahun ini.

Rekod hari terkumpul paling banyak di angkasa masih dipegang angkasawan Russia, Genny Padalka yang berada selama 879 hari sepanjang kerjayanya dan misi terakhir beliau adalah pada September 2015. - AFP

148 dibaca
Berita Harian X