Rabu, 23 March 2016 | 7:26pm

Pencalonan ABPBH 29 iktiraf selebriti bersaiz besar - Abam


Pelawak, Abam (Bocey)

KUALA LUMPUR: Pelawak, Abam (Bocey) menyifatkan pencalonannya dalam tiga kategori Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29) cukup berbaloi selepas melalui pelbagai dugaan sebagai anak seni.

Dicalonkan menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Komedi Popular dan Artis Versatil Popular, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd, 28, muncul sebagai artis dengan pencalonan terbanyak pada edisi ABPBH kali ini.

Abam berkata, pencalonan itu juga membuktikan selebriti bersaiz besar mampu ke hadapan dan mendapat perhatian umum, sekali gus memberi semangat kepada golongan bertubuh gempal sepertinya untuk terus maju dalam bidang yang mereka ceburi.

"Bukan senang menjadi orang berbadan besar. Kami tidak seperti orang biasa yang lain. Sebagai contoh, apabila saya berada di atas pentas, perkara pertama yang dirisaukan ialah bagaimana jika pentas tempat saya berdiri itu roboh? Takut juga jika ia tidak dapat menampung berat badan saya.

"Selain itu, mempunyai saiz badan yang besar membuatkan diri cepat berasa penat. Saya perlu menguruskan jadual untuk berehat setidak-tidaknya sehari selepas dua hari bekerja kerana cepat penat. Apabila benda-benda kecil seperti ini berlaku, ia membuatkan golongan seperti saya mudah berputus asa.

"Justeru apabila mendapat tiga pencalonan, ditambah pula hakikat perlu bersaing dengan ramai lagi selebriti lain, saya anggap ia sudah pun menjadi kemenangan untuk saya selepas melalui susah-senang sebagai anak seni," katanya kepada BH Online.

Menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Abam bersaing dengan Remy Ishak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad dan Syafie Naswip. Manakala Amir, Ebby Yus, Shuib dan Zulin Aziz pula menjadi pesaingnya dalam kategori Artis Komedi Popular. Bagi Artis Versatil Popular, beliau dicabar oleh Ajak (Shiro), Awie, Didie Alias dan Ifa Raziah.

Sementara itu, Abam berkata, peminatnya juga memainkan peranan dan menjadi alasan dirinya dicalonkan dalam ketiga-tiga kategori terbabit.

Kata Abam, kumpulan peminat yang dikenali sebagai Abamamamious itu sanggup meluangkan masa membeli akhbar BH untuk mengundinya dan ia membuat beliau terharu.

"Saya percaya, sikap berbaik-baik dengan semua orang akan memberi manfaat pada kita dalam pelbagai benda. Begitu juga apabila kita berbaik dengan peminat.

"Lihatlah mereka begitu bersungguh-sungguh menyokong saya tidak kira masa," tuturnya yang kini sibuk menjalani latihan bersama ahli kumpulannya iaitu Fad dan Achey untuk pertandingan Maharaja Lawak Mega 2016 yang rancak berlangsung.

162 dibaca
Berita Harian X