;
Jumaat, 25 March 2016 | 12:09am
"SETIAP bakat baharu harus mempunyai kelebihan dan tarikan masing-masing yang tersendiri," kata Nadzmi Adhwa.
Nadzmi Adhwa finalis kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 29.

Nadzmi Adhwa keriting berbakat



RAMBUT keriting kembang yang dimiliki pelakon baharu, Nadzmi Adhwa, barangkali boleh dianggap sebagai tuah buatnya.

Sedar ramai pelakon generasi baharu sepertinya yang mempertaruhkan bakat dan pakej komersial, jejaka berkulit putih kelahiran Kuala Lumpur berusia 24 tahun ini cuba mencipta kelainan menerusi imej berkenaan.

Baginya, setiap bakat baru harus mempunyai kelebihan dan tarikan masing-masing yang tersendiri.

Memiliki gaya rambut sedemikian sejak kecil, finalis kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 29 itu, memberitahu kebanyakan penerbit yang menghulurkan tawaran berlakon untuknya mahukan beliau mengekalkan gaya rambut sama.

Imej rambut itu mungkin dilihat sebagai identiti tersendiri dimilikinya, selain wajah comel berkulit putih gebu. Rambut keriting kembangnya itu pula memang dibiarkan bersahaja tanpa perlu didandan rapi.


NADZMI Adhwa serahkan kepada peminat untuk nilai gaya rambutnya.


Nadzmi Adhwa.

"Kalau ada yang menganggap rambut keriting saya ini sebagai rambut cari makan, ia mungkin juga. Terpulanglah kepada mereka yang menilai. Begitupun ia tidak bermaksud saya tak sanggup mengubah gaya rambut ini.

"Malah, saya pernah meluruskan rambut ketika berlakon dalam drama Jejaka Terhangat Di Pasaran. Saya juga tidak pernah meletakkan syarat untuk kekal dengan rambut sedia ada.

"Sebagai pelakon, saya sanggup ambil cabaran apa saja termasuk berkaitan rambut. Dalam telefilem Jalan Taubat pun saya sanggup memotong rambut kembang saya menjadi pendek," katanya dalam pertemuan bersama BH, baru-baru ini.

Mengimbas perjalanan seninya sebagai pelakon, ia bermula pada Disember 2014. Seperti kebanyakan bakat lain, beliau turut menghadiri uji bakat dan pengarah pertama yang membuka jalan untuk anak kedua daripada empat beradik ini melangkah dalam bidang seni ialah Osman Ali.

Bermula dengan telefilem Toll Gate Asmara, pengarah itu sekali lagi memberi peluang kepadanya menunjukkan kebolehan. Kali ini menerusi filem Langit Cinta yang menampilkan Fazura, Keith Foo, Siti Saleha dan Farid Kamil pula.


"PENERBIT yang menghulurkan tawaran berlakon mahukan beliau mengekalkan gaya rambut sama," kata Nadzmi Adhwa.

"Saya harus berterima kasih kepada Abang Osman kerana memberikan saya peluang berharga ini. Saya memang sejak dulu meminati lakonan, tetapi sejujurnya tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon.

"Saya mempunyai ijazah dalam rekaan grafik dan multimedia dari UiTM, Puncak Alam dan berhasrat untuk menjadi pensyarah selepas melanjutkan pengajian dalam bidang sama pada peringkat sarjana.

"Saya menamatkan pengajian pada tahun lalu dan majlis konvokesyen pula akan berlangsung Mei depan. Bagaimanapun, saya tidak menyangka dunia lakonan semakin menjadi kecintaan saya.

"Selepas makin jatuh hati dengan bidang ini, kini 100 peratus tumpuan saya berikan kepada lakonan. Hasrat di hati, kalau tidak berlakon, memang saya ingin sambung belajar ke peringkat sarjana dan memenuhi impian bergelar pensyarah," katanya.

Selepas Langit Cinta, Nadzmi ditawarkan pula berlakon telefilem Jalan Taubat dan seterusnya Hati Perempuan, drama yang dilihat meledakkan namanya di persada seni. Malah Nadzmi berasakan, drama itu juga yang membuatkan namanya terlekat sebagai calon awal ABPBH 29 dan kini mara sehingga ke peringkat akhir kategori terbabit.

Selepas Hati Perempuan, Nadzmi membintangi telefilem Jodoh Ke Uols, drama Jejaka Terhangat Di Pasaran dan Jangan Ambil Botol itu.

Ketika ini drama Jom Kahwin lakonannya sedang bersiaran di Hypp TV dan Hypp Sensasi. Beliau kini sedang menyelesaikan penggambaran drama Cinta Roller Coaster terbitan Suhan Movies & Trading.


Nadzmi Adhwa cipta imej rambut kerinting.

"Sejujurnya saya tak sangka boleh mara sebagai calon artis baharu baharu ABPBH 29. Apa pun, saya anggap pencalonan ke peringkat Top 5 sebagai pembakar semangat dan permulaan untuk terus berjuang di arena seni," katanya yang disokong kelab peminat Adhwarizado.

Saat dirinya masih dilihat hijau di arena lakonan, Nadzmi juga sebenarnya turut bergelar penyanyi. Beliau sudah pun tampil bersama single Kamulah Wanita, ciptaan sepenuhnya Aiman Sidek. Lagu pop berkenaan disifatkannya seakan-akan lagu Pencinta Wanita dendangan Irwansyah.

Meskipun begitu, Nadzmi berkata, lakonan adalah keutamaannya manakala nyanyian pula lebih kepada peluang yang menjelma tanpa disangka.

"Kebetulan, lagu Bunga Dhia dendangan Aiman menjadi lagu runut bunyi drama Hati Perempuan. Saya sendiri menggemari lagu itu dan pernah menyanyikannya secara suka-suka serta dimuat naik ke laman Instagram.

"Dari situ mungkin Aiman nampak bakat nyanyian saya dan menawarkan lagu Kamulah Wanita untuk dinyanyikan," katanya.


Nadzmi Adhwa memiliki gaya rambut unik.

245 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »