Isnin, 28 March 2016 | 4:23pm

Industri aeroangkasa diunjur jana pendapatan RM55.2b


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika Majlis Pelancaran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia di Menara Matrade. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Industri aeroangkasa negara diunjurkan menjana pendapatan sehingga RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sejumlah RM21.2 bilion dijangka disumbangkan oleh segmen pembuatan komponen aeroangkasa, diikuti RM20.4 bilion menerusi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta RM13.6 bilion daripada perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

"Sasaran pendapatan itu adalah pertumbuhan lima kali ganda dalam tempoh 15 tahun dan ia adalah satu kadar pertumbuhan luar biasa, yang dipacu oleh perkembangan pesat industri aeroangkasa di negara ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud; dan Presiden Sementara MAIA yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, Naguib Mohd Nor.

MAIA bertujuan menyampaikan pandangan industri kepada pembuat dasar bagi memacu sektor itu ke tahap lebih tinggi, dengan menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran global dan membangunkan status sebagai hab aeroangkasa di Asia, khasnya rantau ASEAN.

Penubuhan MAIA juga adalah inisiatif untuk membantu Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) yang diterajui MITI dalam memantau pelaksanaan Pelan Tindakan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan mahu industri aeroangkasa menumpukan eksport produk memandangkan Malaysia hanya mencatatkan eksport RM2.9 bilion berbanding import RM15 bilion pada 2014.

Katanya, jurang antara eksport dan import adalah sebanyak RM6 bilion pada tahun lalu, manakala RM10 bilion tahun sebelumnya.

"Ini adalah jurang besar dan ia antara sebab kerajaan memberi galakan kepada industri untuk menumpukan eksport. Kerajaan bersedia mempertimbangkan insentif khas sekiranya industri aeroangkasa memberi impak yang besar kepada negara ini," katanya.

Jumlah perdagangan produk aeroangkasa negara bernilai RM14.2 pada tahun lalu, dengan eksport mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 44.7 peratus daripada RM2.9 bilion pada 2014 kepada RM4.2 bilion tahun lalu.

Pada masa sama, import produk aeroangkasa menurun 33.5 peratus daripada RM15.1 bilion kepada RM10 bilion dalam tempoh sama.

Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 160 syarikat terbabit dalam industri aeroangkasa yang menyediakan lebih 19,000 peluang pekerjaan, terutama dalam sektor MRO dan pembuatan.

108 dibaca
Berita Harian X