Selasa, 5 April 2016 | 1:39pm

PRN11: Pembangkang semakin terdesak raih perhatian rakyat


TIMBALAN Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Abang Openg. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

PETRA JAYA: Tindakan pembangkang menyebarkan pelbagai isu provokasi terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak jelas memperlihatkan mereka semakin terdesak untuk menarik perhatian rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang semakin hampir.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata tindakan pembangkang itu juga dilihat sebagai cubaan mengelirukan rakyat yang menyokong pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan BN Sarawak di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

"Bagi pembangkang, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan BN dan kerajaan negeri, termasuk menyebarkan pelbagai fitnah dan tohmahan. Cara mereka berpolitik kurang matang, seolah-olah rakyat negeri ini terlalu dangkal dan tidak tahu menilai.

"Ini bukan perkara baharu sebenarnya, malah setiap kali berlangsungnya pilihan raya negeri, pasti ada sahaja isu provokasi disebarkan untuk menarik perhatian pengundi. Ini taktik lapuk dan jelas menggambarkan mereka semakin terdesak dengan pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan BN Sarawak yang cukup disenangi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Jentera Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) Zon Kuching di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, di sini sebentar tadi.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, berkata sepanjang dua tahun lalu, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Adenan, termasuk `50 Pelan & Tindakan' yang ternyata membawa banyak perubahan kepada negeri ini dan kehidupan rakyat.

"Ini menimbulkan perasaan gentar pemimpin pembangkang, lebih-lebih lagi kepemimpinan Tan Sri Adenan Satem yang berkonsep sederhana tetapi tegas dalam memperjuangkan hak Sarawak dan rakyatnya mendapat sokongan pelbagai pihak.

"Di Sarawak, pembangkang memang tiada isu.... tiada modal untuk berkempen. Jadi, mereka sememangnya terdesak hingga sanggup menggunakan isu bersifat nasional seperti pelaksanaan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) yang sememangnya tidak `laku' di negeri ini," katanya.

Beliau turut menganggap tindakan pembangkang yang menggunakan isu kemasukan UMNO ke Sarawak sebagai satu perkara lucu kerana ia sama sekali tidak akan berlaku atas persetujuan bersama kepemimpinan BN Pusat dan BN Sarawak.

"Dari zaman saya menceburi bidang politik itu sampailah sekarang isu itu dikitar semula. Dulu, saya dikatakan sebagai ejen UMNO.... mahu membawa masuk UMNO ke Sarawak. Sekarang, Ketua Pemuda PBB dan Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof pula dituduh sebagai ejen UMNO.

"Ia dakwaan yang tidak berasas sama sekali... ia satu tuduhan yang sudah basi. Setiap kali pilihan raya negeri diadakan, cerita sama yang diulangsiar. UMNO tidak akan sesekali masuk ke Sarawak.... jaminan itu sudah diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana kedudukan PBB dan BN Sarawak sudah cukup utuh," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X