;
Ahad, 10 April 2016 | 1:02am

Kerajaan Austria mahu rampas rumah Hitler


RUMAH di mana pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler dilahirkan. - Foto Reuters

ZURICH: Selepas bertahun cuba membeli hartanah daripada pemilik persendirian, kerajaan Austria mahu merampas rumah di mana pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler dilahirkan bagi mengelak ia jatuh ke tangan kumpulan neo-Nazi.

Jurucakap kementerian dalam negeri, Karl-Heinz Grundboeck, berkata oleh kerana ciri unik bangunan, sejarah dan minat orang awam, pihaknya memutuskan untuk berbincang bagi meneruskan rampasan mengikut saluran perundangan.

Katanya, keputusan dibuat selepas bertahun perbincangan dan cubaan tanpa hasil membeli hartanah itu, menambah pemiliknya akan diberi pampasan atas kehilangan hak.

Hitler dilahirkan di sebuah rumah di Brunau am Inn pada 20 April 1889. Ia menjadi subjek arahan pemuliharaan sejarah oleh rejim Sosialis Nasional Jerman pada tahun 1938 selepas dibeli kerajaan Nazi.

Selepas dikembalikan kepada keluarga Pommer pada tahun 1952, rumah itu diwarisi Gerlinde Pommer pada tahun 1977.

Kerajaan Austria menyewa hartanah itu sejak tahun 1972 dan menggunakannya sebagai pusat jagaan harian untuk individu kurang upaya namun bangunan itu kosong sejak tahun 2011 selepas Pommer enggan membenarkan kerja penyelenggaraan. - Reuters

89 dibaca
Berita Harian X