Ahad, 10 April 2016 | 3:39pm

Lebih 12,000 sertai program Fit Malaysia


KHAIRY (empat dari kiri) bersama Idris (tiga dari kanan) mencuba permainan ''Watt Bike Race Leaderboard'' pada Program FitMalaysia Melaka 2016. - Foto Rasul Azli Samad

ALOR GAJAH: Program Fit Malaysia terus diterima baik segenap lapisan masyarakat apabila lebih 12,000 peserta membanjiri Taman Rekreasi Bukit Beringin, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata program kedua anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu sejajar dengan objektif kerajaan untuk memperkasakan gaya hidup sihat.

"Masjid Tanah dipilih sebagai destinasi untuk menjayakan program Fit Malaysia tahun ini. Kita lihat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peserta, sekali gus membayangkan gerakan Fit Malaysia terus diterima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Fit Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2016 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Fit Malaysia diadakan untuk merangsang masyarakat di negara ini menghayati konsep 'Sukan Untuk Semua' dengan memfokuskan kepada pembentukan budaya bersukan selari dengan slogan Malaysia Cergas, Sihat dan Bersatu.

Terdahulu, Khairy turut menyertai acara berbasikal 30 kilometer (km) bersama ribuan peserta di sekitar Masjid Tanah, selain Mas Ermieyati turut menyertai acara berbasikal 10km.

Malah, peserta turut berpeluang menyertai acara senaman 'Get Fit With KJ' di pentas utama. Program bermula seawal jam 7 pagi hingga jam 4 petang itu turut menganjurkan pelbagai acara lain seperti larian, zumba, free style robik dan hard core maxx.

452 dibaca
Berita Harian X