Ahad, 10 April 2016 | 6:09pm

Awie jadi mangsa berita viral lagi


RAKAMAN video yang dikongsi Awie di instagram miliknya.

KUALA LUMPUR: Sekali lagi netizen kecoh gara-gara tersebarnya khabar angin kononnya penyanyi Awie terbabit dalam kemalangan.

Vokalis kumpulan rock otai, Wings itu menyifatkan berita palsu itu sebagai fitnah yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, dia tidak terbabit dalam kemalangan dan berada dalam keadaan sihat.

"Saya kini berada di Phuket, Thailand bagi bagi menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2.

"Saya masih lagi hidup dan berita kononnya saya terbabit dengan kemalangan dan meninggal dunia adalah palsu," katanya melalui video yang dimuat naik di laman Instagram.

Semalam, Awie dikatakan terbabit dengan kemalangan jalan raya di Phuket. Berita itu menjadi bualan ramai netizen sehingga menjadi tanda tanya.

Rakaman video yang dikongsi Awie mendapat respons peminat yang rata-rata mendoakan Awie dipanjangkan umur. Malah, ada pihak yang mengecam individu yang menyebarkan berita palsu itu.

Pada Mei tahun lalu, Awie pernah dilaporkan 'meninggal dunia' selepas dikatakan terbabit kemalangan jalan raya di Lahad Datu.

Bagaimanapun, individu yang disebut dalam laporan itu dipercayai peminat fanatik penyanyi itu yang dikenali sebagai Awie Lahad Datu.

Berita kematian Awie Lahad Datu itu dilaporkan sejak tahun 2013. Tetapi ada pihak dilihat cuba melakukan gimik dengan menyebarkannya semula dan menggunakan gambar Awie.

155 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »