Ahad, 10 April 2016 | 10:29pm

Dua maut lori terbabas di LPT2


LORI yang terbabas mengorbankan dua mangsa maut, Jailani Jusoh, 26, dan Muhamad Safwan Abu Bakar, 18, di kilometer 282 Lebuh Raya Pantai Timur LPT 2. - Foto Ihsan Pembaca

KUALA TERENGGANU: Dua terbunuh apabila lori dinaiki terbabas dan terbalik di Kilometer 282, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, Chukai, Kemaman, petang tadi.

Kemalangan dilaporkan berlaku apabila pemandu lori, Jailani Jusoh, 26, dari Kampung Tualang, Manir, di sini, yang sedang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu, dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik, kira-kira jam 6.50 petang.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah kelindan lori, Muhammad Safwan Abu Bakar, 18, dari Kampung Manir, di sini.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kedua-dua mangsa di hantar ke Hospital Kemaman (HK).

Mayat mereka dikeluarkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

377 dibaca
Berita Harian X