Khamis, 14 April 2016 | 9:16am

Pengurus kempen Trump tidak akan didakwa


COREY Lewandowski didakwa sengaja menggenggam dengan kuat dan menyebabkan lebam. - Foto politico

NEW YORK: Pengurus kempen calon presiden Republikan, Donald Trump, yang didakwa di Florida bulan lalu kerana melakukan kekasaran terhadap seorang wartawan, tidak akan didakwa, lapor akhbar Politico.

Corey Lewandowski didakwa sengaja menggenggam dengan kuat dan menyebabkan lebam pada lengan Michelle Fields, yang ketika itu wartawan akhbar Breitbat, ketika cuba menyoal Trump pada kempen 8 Mac lalu.

Peguam Negeri Palm Beach, David Aronberg, dijadualkan mengumumkan keputusan tidak mendakwa Lewandowski petang ini.

Sementara itu, sekumpulan bekas peserta siri realiti televisyen, The Apprentice, yang dihoskan dan diterbitkan bersama oleh hartawan itu, mengecam Trump dan menyifatkan beliau tidak layak menjadi presiden.

Enam peserta rancangan itu, termasuk pemenang Musim Keempat, Randal Pinkett dan peserta akhir Musim Pertama, Kwame Jackson, bercadang mengadakan sidang akhbar esok di New York bagi tujuan itu menjelang pemilihan di Pittsburgh pada 19 April ini.

"Trump secara ghairah dan strategik mencetuskan budaya kotor dan perpecahan dalam sejarah prejudis, ketakutan dan kebencian. Ia tidak patriotik, anti-Amerika dan mementingkan diri.

"Sebagai alumni The Apprentice, kami berpeluang bekerjasama dengan Donald dalam pelbagai kapasiti termasuk pekerja Trump Organization. Berdasarkan pengalaman dan kempen Donald, kami percaya beliau tidak layak menjadi Presiden Amerika Syarikat," kata Marshawn Evans Daniels dalam satu kenyataan. - REUTERS/AP

43 dibaca
Berita Harian X