Khamis, 14 April 2016 | 3:58pm

Ayda tersepit antara cinta dua lelaki


BABAK filem Pinjamkan Hatiku lakonan Ayda Jebat, Farid Kamil dan Shaheizy Sam.

KUALA LUMPUR: Ayda Jebat mengaku filem pertama menyaksikan dirinya memegang watak utama, Pinjamkan Hatiku, cukup mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

Bintang yang sering muncul dalam drama bercorak komedi cinta itu berkata, sebagai Laila Safitri, karakter berkenaan menyerlah sisi berbeza dalam persembahannya.

Menurut calon Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 ini, filem terkini arahan Osman Ali itu memerlukannya banyak bermain dengan emosi.

"Kalau dilihat pada judulnya, mungkin orang akan ingat filem ini seperti sebuah cerita mengenai pasangan yang bahagia bercinta. Hakikatnya, ia menuntut saya melakukan banyak penyelidikan sejak dari awal lagi.

"Saya juga tidak tidak terlepas daripada berdepan tekanan ketika menjayakan filem ini. Bagaimanapun, beberapa hari selepas penggambaran, ia semakin reda. Pelakon lain turut membantu saya menghilangkan tekanan yang dirasa, termasuk dua bintang utama lelaki filem ini, Farid Kamil dan Shaheizy Sam.

"Malah, pelakon juga turut mendapat bimbingan daripada Kak Ogy Ahmad Daud. Jadi, sampai saja di set penggambaran, semua pelakon sudah bersedia," kata Ayda sambil memberitahu, penggambaran filem terbabit mungkin selesai pada 28 April ini.

Kata penyanyi yang kini meledak dengan lagu Pencuri Hati itu, filem terbabit memberikannya peluang bergandingan dengan dua bintang lelaki pujaan Malaya.

"Menerusi filem ini, watak Laila berdepan dilema sama ada mahu memilih kawan lama, Naufal (lakonan Sam) atau Dr Hasnan (Farid) yang menjaganya ketika sakit.

"Kedua-duanya pula melakonkan watak lelaki baik. Jadi, memang tak ada watak jahat dalam Pinjamkan Hatiku. Saya sendiri memang tiada masalah berlakon dengan dua aktor yang sudah bergelar suami. Masing-masing cukup profesional ketika menjayakan filem ini," ujar Ayda yang menjalani penggambaran di Ipoh, Perak, ketika dihubungi BH Online.

2698 dibaca
Berita Harian X