Isnin, 18 April 2016 | 6:00pm

4 anggota tentera diburu polis

MELAKA: Polis mengenal pasti empat suspek utama kes seorang anggota komando Rejimen 11 Gerak Khas Kem Sungai Udang, di sini, yang ditemui cedera teruk pada muka dengan tangan kanan digari pada kaki kiri di Sungai Timun, Lubuk China, awal pagi semalam.

Setakat ini, polis giat memburu keempat-empat suspek yang sudah menghilangkan diri dan dipercayai anggota tentera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata pihaknya kini bekerjasama dengan tentera bagi mendapatkan maklumat berhubung punca dan motif kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai ditahan di Taman Peruna, Sungai Udang, sebelum dipukul teruk serta dipaksa untuk menaiki sebuah kenderaan.

"Mangsa kemudian digari menggunakan gari buatan negara jiran dengan tujuan untuk membuangnya ke dalam sungai," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

BH hari ini melaporkan, Koperal Mohd Daud Karim, 26, yang dipercayai mangsa cubaan, ditemui penduduk kampung sebelum laporan polis dibuat.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan ke rumahnya selepas menyelesaikan satu urusan di kem berkenaan, kira-kira jam 1 pagi.

Kamaluddin berkata, mangsa yang menerima lebih 80 jahitan di kepala, muka dan bahagian mata akibat kecederaan teruk dipukul masih dirawat di Hospital Melaka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh," katanya.

Sementara itu, cubaan BH untuk menemuramah Mohd Daud di Hospital Melaka gagal berikutan mangsa dikawal ketat oleh anggota tentera dan diarahkan untuk tidak menerima pelawat.

287 dibaca
Berita Harian X