;
Khamis, 21 April 2016 | 12:02am
NADZMI melihat soal menjaga kesihatan dan fizikal badan kini sudah menjadi keperluan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
MAKIN jatuh hati dengan bidang lakonan, Nadzmi kini beri tumpuan 100 peratus. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bersenam demi elak serangan asma


CALON Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29, Nadzmi Adhwa, sejak kecil lagi sudah biasa dengan dunia sukan.

Pada usianya enam tahun lagi, dia terlebih dulu berjinak-jinak dengan bola sepak. Malah pelakon berusia 24 tahun yang mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan di TV3 itu, juga pernah mewakili Malaysia bermain bola sepak di Manchester United sekitar 2003 (ketika belajar dalam Tahun Tiga).

Dari situ, minat jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu bercambah dalam dunia sukan berkenaan tetapi ketika itu, minatnya bersukan bukan disebabkan mahu menjaga badan, sebaliknya untuk mengelak penyakit asma.

Minatnya untuk membina badan pula bercambah sekitar dua tahun lalu kerana mengikut kawan dan kebetulan beberapa tahun lalu, aliran ke gimnasium termasuk terma 'abam sado' mula menjadi ikutan.

"Memang kalau tak bersukan atau melakukan sebarang aktiviti mengeluarkan peluh, saya akan cenderung terkena serangan Asma. Berikutan itu, saya kena juga pergi gim, selain bermain futsal.

Malah sampai sekarang pun, saya masih bermain bola sepak di padang. Penyakit Asma saya ini tidaklah sekronik mana tetapi ia diwarisi secara keturunan. Adik beradik saya yang lain pun ada penyakit sama.


MINAT Nadzmi untuk membina badan bercambah sekitar dua tahun lalu kerana mengikut kawan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam


NADZMI Adhwa sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan dunia sukan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Cuma saya selalu anggap penyakit itu sebagai ruang motivasi untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat. Tidak langsung anggap ia sebagai beban. Jadi nak kekalkan tahap kesihatan yang baik, mahu atau tidak saya kena bersenam.

Selain penyakit itu, keadaan fizikal abang saya yang bersaiz besar juga menjadi alasan kenapa saya bersenam.

"Kami adik beradik ini, jenis badan cepat naik. Silap makan saja, salah percaturan berat badan saya boleh naik mendadak macam abang. Badan saya asalnya kurus saja sebelum bina badan tetapi saya takut juga kalau selalu sambil lewa hal ini, silap hari bulan, kembang pula badan saya.," kata anak kedua daripada empat beradik yang kesemua lelaki ini.

Menurut pelakon berwajah comel berkulit putih gebu dan berambut keriting ini, statusnya sebagai anak seni juga memberi kepuasan buat diri sendiri dengan bersenam.

"Selalunya kalau menjalani penggambaran, tempoh masa itu tak menentu. Namun, dengan bersenam, stamina itu sentiasa ada. Tak kiralah habis jam berapa pun penggambaran, saya masih bertenaga. Malah stamina pun bertambah.

Saya tak cepat mengantuk. Untuk meneruskan survival seni pun, saya percaya tubuh badan yang sihat serta fizikal menarik juga menjadi nadi selain bakat yang dipertaruhkan.


NADZMI percaya tubuh badan yang sihat serta fizikal menarik juga menjadi nadi selain bakat yang dipertaruhkan.


NADZMI mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan di TV3.

"Bakat baru sekarang tumbuh mekar bagaikan cendawan tumbuh pada waktu pagi. Jadi saya melihat soal menjaga kesihatan dan fizikal badan ini bukan lagi menjadi sebagai kehendak, sebaliknya sudah jadi keperluan," katanya yang ketika ini sedang melunaskan baki penggambaran drama Cinta Roller Coaster arahan Amor Rizan terbitan Suhan Movies & Trading bagi slot Dahlia TV3.

Mengenai rutin senamannya, dia seboleh bolehnya bersenam setiap hari.

"Kalau tak terikat dengan penggambaran, dapat luang masa selama sejam setengah pada sebelah pagi di gim pun sudah memadai. Saya selalunya bersenam di gim rakyat.

Saya selalu lebihkan senaman kardio termasuk melakukan senaman beban pada bahagian lengan, cuma baru-baru ini saja saya cuba membentuk badan.

"Saya tak mengambil sebarang makanan tambahan kerana lebih suka cara semula jadi. Saya pun tak sasarkan nak berbadan sasa, cukup sekadar nampak cantik ketika muncul di TV," katanya yang turut berlakon telefilem Mat Jenin di samping Ana Dahlia bagi siaran RTM.


NADZMI tidak terlalu tegas mengenai diet dan makan seperti orang lain. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam


NADZMI minat bersukan kerana mahu mengelak penyakit Asma.

Ditanya mengenai diet, Nadzmi tidak terlalu tegas dalam soal berkenaan.

"Saya 'tibai' makan macam orang lain juga. Tapi untuk hilangkan rasa bersalah, saya bakar semula lemak itu dengan bersenam. Dulu saya makan saja makanan berminyak, cuma sekarang saya mula kurangkan. Tetapi saya ini jenis bersemangat waja, kalau perlu watak yang kena kuruskan badan. Macam untuk drama Cinta Roller Coaster, saya tak ambil nasi sebagai persediaan," katanya.

Mengimbas perjalanan seninya sebagai pelakon, ia bermula pada Disember 2014. Seperti kebanyakan bakat lain, Nadzmi turut menghadiri uji bakat dan pengarah pertama yang membuka jalan untuknya melangkah dalam bidang seni ialah Osman Ali.

Bermula dengan telefilem Toll Gate Asmara, pengarah itu sekali lagi memberi peluang kepadanya menunjukkan kebolehan menerusi filem Langit Cinta, yang turut menampilkan Fazura, Keith Foo, Siti Saleha dan Farid Kamil.

"Saya mempunyai ijazah dalam rekaan grafik dan multimedia dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam, dan berhasrat menjadi pensyarah selepas melanjutkan pengajian dalam bidang sama pada peringkat sarjana.

"Saya menamatkan pengajian pada tahun lalu dan majlis konvokesyen pula akan berlangsung Mei depan. Bagaimanapun, saya tidak menyangka dunia lakonan semakin menjadi kecintaan saya. Selepas makin jatuh hati dengan bidang ini, kini 100 peratus tumpuan saya berikan kepada lakonan.

"Hasrat di hati, kalau tidak berlakon, memang saya ingin sambung belajar ke peringkat sarjana dan memenuhi impian menjadi pensyarah," katanya.

432 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »