Jumaat, 31 Oktober 2014 | 10:54am

Oppo perkasa pemasaran


Model baharu Oppo.

SINGAPURA: Oppo, pengeluar telefon pintar dari China akan memperkasakan saluran pemasarannya di Malaysia dalam usaha memperkukuhkan kehadirannya sebagai antara pengeluar berdaya saing di negara ini.

Bagi tujuan itu, Oppo yang sudah memperkenalkan 10 model setakat ini di pasaran domestik akan memberi penekanan kepada empat kaedah pemasaran iaitu saluran pengedar, kedai konsep, syarikat telekomunikasi dan moden bagi mengembangkan pengaruhnya walaupun masih baharu dalam pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Oppo Malaysia, William Fang, berkata bagi saluran pengedar, syarikat yang mula memasuki pasaran Malaysia kira-kira lapan bulan lalu akan meningkatkan rangkaian pengedaran yang kini berjumlah 2,600 premis bagi memudahkan pelanggan mendapatkan produk Oppo.

Selain itu, katanya, saluran kedai konsep Oppo pula, ia merancang untuk menambah sehingga 50 kedai sebelum Februari tahun depan selepas memiliki 21 kedai konsep di seluruh negara setakat ini.

"Bagi saluran syarikat telekomunikasi, Oppo sudah menjalinkan kerjasama dengan U Mobile bagi menawarkan produk kami dan dalam masa terdekat, syarikat akan mewujudkan pakatan dengan Celcom sebelum sinergi bersama Maxis.

"Terakhir adalah saluran moden iaitu membabitkan kerjasama dengan pengendali pasar raya besar terkemuka. Pada masa ini, kami sudah bekerjasama dengan Tesco dan AEON dalam memasarkan produk Oppo," katanya kepada media Malaysia selepas majlis pelancaran Oppo N3 dan R5 di Singapura, kelmarin.

Oppo N3 dan R5, masing-masing dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Oppo Singapura, Sean Deng dan Pengurus Produk Oppo, Bakarrik Azeri.

Yang turut hadir, Perniagaan Oppo Bagi Indonesia, Malaysia dan Singapura, Jet Lee; Pengurus Besar Oppo, Sky Li; dan Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan Qualcomm Technologies Inc, Ziad Matar.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands, Singapura itu turut dihadiri 1,300 tetamu termasuk pengamal media dari 15 negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Iran, Mesir dan Australia.

Sementara itu, William berkata, Oppo optimis dapat meningkatkan penguasaan bahagian pasaran di Malaysia menerusi pengenalan rangkaian produk terbaharunya R5 dan N3 di pasaran negara ini.

Beliau berkata, sasaran pertumbuhan perniagaannya di Malaysia turut disokong penerimaan positif pengguna Malaysia bagi 10 model yang sudah dipasarkan sejak menembusi pasaran negara ini lapan bulan lalu.

"Walaupun baharu lapan bulan memasuki pasaran Malaysia, Oppo berjaya meraih lapan peratus penguasaan pasaran, peningkatan secara drastik bagi jenama baharu. Kini kami menduduki tangga keempat atau kelima dalam bahagian pasaran telefon pintar di negara ini," katanya

Bagi model yang baharu dilancarkan, katanya, Oppo N3 dan R5 masing-masing dijangka menjengah pasaran Malaysia pada akhir Disember dan penghujung bulan depan.

"Oppo N3 ditawarkan pada harga runcit yang disyorkan iaitu RM2,098, manakala R5 pula sekitar RM1,598," katanya.

Info:

Oppo R5

* Telefon pintar paling nipis di dunia iaitu 4.85 milimeter

* Skrin 5.2 inci AMOLED

* Berat 155 gram

* Kamera depan 5 megapiksel dan belakang 13 megapiksel

* Prosesor octa-core Qualcomm MSM8939 1.5GHz

* Sistem operasi Android 4.4 Color OS 2.0

* Bateri menggunakan teknologi VOOC dengan kuasa mengecas pada kadar kosong hingga 75 peratus dalam masa 30 minit

Oppo N3

* Skrin 5.5 inci dengan teknologi Corning Gorilla Glass 3 bagi ketahanan maksimum

* Prosesor Qualcomm Snapdragon 801 quad-core CPU

* Sistem operasi OS Android 4.4 color OS 2.0

* Kamera berpusing automatik 16 megapiksel

223 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »