Sabtu, 7 Mei 2016 | 10:48am

Adenan, Abang Johari mengundi di SK Merpati Jepang


ADENAN dan isteri, Jamilah serta calon BN N8 Satok, Abang Johari menunjukkan jari mereka yang ditanda dengan dakwat kekal selepas mengundi sempena PRN-11 di Pusat Mengundi Dewan Undangan Negeri Satok, Merpati Jepang, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan isterinya, Puan Sri Jamilah Anu, pagi ini mengundi di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di kawasan Dewan Undangan Negeri N8 Satok di sini.

Beliau tiba di pusat pengundian itu kira-kira 9.10 pagi dan disambut oleh calon BN N8 Satok, Datuk Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof.

Abang Johari juga mengundi di pusat pengundian yang sama manakala Fadillah mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Rakyat Haji Bolhassan, yang terletak bersebelahannya.

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak merupakan penyandang kerusi DUN kawasan N8 Satok sejak 1983.

Dalam pilihan raya negeri kali ini, beliau ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohammad Salleh Shawkatali yang merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan. - BERNAMA

42 dibaca
Berita Harian X