Khamis, 12 Mei 2016 | 12:16am
GAMBAR yang diambil oleh Musliansah Masrie. - Foto ihsan Musliansah Masrie
GAMBAR yang diambil oleh Musliansah Masrie. - Foto ihsan Musliansah Masrie
GAMBAR yang diambil oleh Musliansah Masrie. - Foto ihsan Musliansah Masrie
GAMBAR yang diambil oleh Musliansah Masrie. - Foto ihsan Musliansah Masrie
GAMBAR yang diambil oleh Musliansah Masrie yang pernah mememangi pertandingan antarabangsa. - Foto ihsan Musliansah Masrie
GAMBAR yang diambil oleh Musliansah Masrie. - Foto ihsan Musliansah Masrie

Pokok tin "mewah" bagi hasil lumayan


TAWAU: Pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM) yang pernah memenangi pertandingan fotografi peringkat dunia kini lebih selesa dengan berkebun.

Bermula dengan menanam pokok tin untuk mengisi masa lapang, hobi itu kini menjana pendapatan sampingan yang menguntungkan buat Musliansah Masrie dari Taman Sentosa, di sini.

"Kini, saya mengumpul 67 varieti anak pokok tin daripada pelbagai negara seperti Sepanyol, Greece, Turki, Portugal, Jepun dan China.

"Antara spesies biasa yang mudah didapati yang dalam koleksi saya ialah , Bordissot Rossa, Bordissot Negra, Manressa, Napollitana Negra, Bojihong dan Matsui Dauphine.


MUSLIANSAH Masrie menunjukkan anak pokok tin miliknya. - Foto Lano Lan

MUSLIANSAH kini mengumpul 67 varieti anak pokok tin daripada pelbagai negara seperti Sepanyol, Greece, Turki, Portugal, Jepun dan China. - Foto Lano Lan

"Saya juga memiliki baka mewah seperti Martinenca Rimada (MR), Coll De Dama Rimada (CDDR), Paratjal Rimada (PR), Bordissot Negra Rimada (BNR) dan Bordissot Blanca Rimada (BBR) yang harganya boleh mencecah RM100 hingga RM2,000 setiap pokok.

"Terbaharu, saya berhasil menambah koleksi baka antara yang paling mahal di dunia iaitu 'Cardinello' melalui bidaan pada harga RM5,500 di laman sesawang di internet," katanya.

Menyedari potensi tumbuhan itu dan buahnya, Muslianshah, 45, bertekad mengusahakan tanaman pokok tin secara skala lebih besar, selain sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit sebagai modal.

Kini, Muslianshah atau mesra dengan panggilan Pak Mus, memiliki dua hobi yang jauh berbeza namun kedua-duanya menguntungkan.


BUAH tin yang ditanam di halaman rumahnya di Taman Sentosa, Tawau. - Foto Lano Lan

MUSLIANSAH bertekad mengusahakan tanaman pokok tin secara skala lebih besar, selain sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit sebagai modal. - Foto Lano Lan

Pada tahun 2015, gambar pemandangan rumah Bajau Laut di Pulau Maiga, Semporna yang dirakamnya mendapat tempat pertama pertandingan Fotografi Antarabangsa anjuran KLM Royal Dutch Airlines, sekali gus mengalahkan 160,930 penyertaan dari seluruh dunia.

Kemenangan itu membolehkan beliau sebagai pemegang keahlian Flying Blue oleh syarikat penerbangan itu dinaikkan ke peringkat Platinum dengan menerima 320,000 kilometer mata ganjaran atau 200,000 batu, sekali gus membolehkannya mengelilingi dunia.

Daripada hobi mengembara untuk merakamkan pelbagai foto, kini masanya terpaksa dibahagikan sama rata untuk mengusahakan pokok tin atau nama saintifiknya, Ficus Carica.

Segalanya bermula tahun 2014 apabila tanaman itu diperkenalkan oleh adik iparnya dan dari situ, timbul minat mengetahui mengenai pokok tin melalui internet.

Lulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, beliau sentiasa menjalankan kajian, mencari biji benih dan teknik penanaman berkesan supaya pokok ditanam membuahkan hasil yang baik, selain menghasilkan anak pokok daripada baka berlainan varieti.


POKOK tin yang ditanam di halaman rumah memberi pulangan lumayan. - Foto Lano Lan

INFO - Pokok tin

  • nama saintifiknya ialah Ficus Carica
  • berasal dari Asia Barat
  • dikatakan mempunyai ratusan baka
  • makanan mengandungi hampir semua gizi diperlukan tubuh manusia
  • boleh ditanam dalam pasu jika dijaga dengan baik
  • mengeluarkan hasil tanpa musim seawal tiga bulan pertumbuhannya

 

FAKTA NOMBOR

  • RM100 hingga RM2,000 harga setiap pokok bagi baka mewah
  • RM5,500 harga satu pokok spesies Cardinello
  • 67 varieti dimiliki oleh Muslianshah Masrie

1088 dibaca
Berita Harian X