Rabu, 20 Ogos 2014 | 3:00am
Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Keistimewaan jihad solat Subuh berjemaah

Ya Allah berikanlah cahaya pada hati, lisan, telinga dan mata hamba. Jadikanlah cahaya dari belakang, depan dan di bawah hamba, dan sebelah kanan dan kiri hamba berikanlah cahaya. Ya Allah berikanlah kepada hamba cahaya.

Inilah doa rutin Rasulullah SAW ketika hendak keluar melaksanakan solat Subuh seperti yang telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas.

Maha Suci Allah yang telah menjadikan keindahan Subuh bukan sekadar pada cantiknya suasana, lembutnya udara, tetapi juga pada kekuatan roh yang tiada tandingannya. Mukadimah ini adalah inti pati perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi program Islam Itu Indah di IKIMfm, pagi Rabu minggu lalu.

Katanya, tatkala kita masih dalam semangat jihad memboikot hasil tangan sekutu Zionis, kita masih canggung memboikot kelakuan serta cara hidup mereka yang tumbuh mendarah daging. Hedonisme, hasad dengki, degil, zalim dan segala perbuatan
mazmumah bersarang dalam diri.

Apakah natijah yang bakal terhasil jika kita masih lemah pada ketika musuh sudah lemah. Mampukah kita mengatasi mereka yang lumpuh tidak berdaya dalam keadaan kita tiada tenaga? Inilah masa terbaik untuk kita membina kekuatan, menjana tenaga bagi menegak kebenaran.

Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik manusia adalah orang yang hidup pada zamanku (generasiku) kemudian orang selepas mereka kemudian orang selepas mereka." Tahukah kita antara kualiti yang dimiliki manusia pada waktu itu?

Ganjaran solat Subuh

Antara cirinya, mereka sangat mementingkan waktu Subuh dan solat Subuh. Mereka faham besarnya ganjaran yang bakal Allah SWT berikan pada Hari Kiamat buat mereka yang mengutamakan waktu dan solat Subuh.

Sabda Rasulullah SAW: "Berilah khabar gembira kepada orang yang berjalan ke masjid pada waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di akhirat kelak." (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Menerusi hadis ini, mereka yang berjihad bagi menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid bakal memperoleh ganjaran daripada Allah SWT iaitu 'cahaya' sempurna.

Cahaya itu juga hadir di dunia, pada mereka yang hatinya terpaut kepada masjid. Pada zaman kemungkaran bermaharajalela, maksiat mendominasi dan amanah dipegang oleh mereka yang tiada hak atasnya, kita bukan sekadar keliru, malah buta pada kebenaran kerana kemungkaran sudah menjadi budaya hidup.

Kegelapan sebegini memerlukan cahaya sebagai penunjuk jalan, walaupun jahiliah kedua sedang berleluasa, namun melalui cahaya dikurniakan, dengan izin Allah SWT dapat kita membezakan hak dan yang batil serta tahu tindakan untuk menyelamatkan diri daripada terjerumus ke jurang maksiat.

Itulah antara kehebatan Subuh yang memberikan cahaya kepada hati kita di dunia dan akhirat. Selain itu, solat Subuh juga boleh menjadi penanda aras kepada kecemerlangan umat.

Rasulullah SAW bersabda: "Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh." (Riwayat Ahmad)

Dalam satu kisah yang masyhur, ketika pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, beliau mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Pada pagi itu juga beliau ke rumah sahabatnya lalu bertanya kepada ibunya al-Shifa': "Saya tidak melihat Sulaiman ketika solat Subuh? Lalu al-Shifa' menjawab: Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya. Kemudian Saidina Umar berkata: Sungguh, berjemaah dalam solat Subuh itu lebih baik bagiku daripada solat malam."

Begitu teguhnya iman pada zaman itu sehinggakan ucapan takziah akan diberikan kepada sahabat yang tidak bersolat Subuh.

Dr Raghib As-Sirjani dalam bukunya Misteri Solat Subuh menulis mengenai seorang penguasa Yahudi berkata, "Kami takut kalau bilangan umat Islam melaksanakan solat Subuh berjemaah menyamai atau melebihi umat Islam melaksanakan solat Jumaat."

Inilah sebaik-baik demonstrasi untuk menunjukkan kebencian terhadap Zionis dengan bangun solat Subuh berjemaah. Inilah peperangan sebenar kita, bukan mudah untuk bangun dari tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Peperangan dalam diri itu diperjelaskan Junjungan Mulia melalui sabda Baginda: "Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: Nikmatilah malam yang panjang ini. Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan kedua. Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat. Tetapi, kalau tidak, dia akan terbawa lembap dan malas." (Riwayat Bukahri dan Muslim)

Iktibar kegemilangan zaman Rasulullah

Waktu Subuh juga adalah waktu yang melimpah ruah kebaikannya. Mari kita ambil iktibar kegemilangan zaman paling berjaya iaitu zaman Rasulullah SAW. Baginda sangat mengutamakan keberkatan pada waktu Subuh. Sabda Baginda: "Ya Allah berkati umatku pada waktu pagi." (Riwayat al-Tirmizi)

Dengan keberkatan waktu Subuh dan doa yang dipanjatkan selepas solat Subuh itulah dua tiupan kemenangan yang membina keyakinan tentera Islam apabila berdepan dengan musuhnya.

Ironinya, orang bukan Islam banyak memanfaatkan waktu awal pagi yang sangat optimum ini.

Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi, namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada waktu pagi? Pengalaman di Asia Barat, waktu Subuh beku dan kaku. Ini realiti yang sangat menyedihkan.

Di negara kita keadaan sama boleh dilihat. Jumlah umat Islam yang bergerak menuju ke masjid untuk solat Subuh berjemaah sangat sedikit berbanding jumlah orang bukan Islam yang bangun awal dan berpusu-pusu pergi berjoging, bersenam atau membawa anjing mereka berjalan-jalan.

Bayangkan, kerana cinta akan anjing mendorong pemiliknya untuk bangun pagi, sedangkan kita yang mengaku cinta akan Allah SWT tidak terdorong untuk bangun pagi.

Realitinya, umat Islam kini semakin lupa apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar al-Khatab: "Hakikatnya kita tentera Islam dimenangkan Allah kerana dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir, tetapi sekiranya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?"

Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

146 dibaca
Berita Harian X