Selasa, 17 Mei 2016 | 12:07am

Kerongsang dwi fungsi


ANTARA rekaan kerongsang dwi fungsi.

KERONGSANG antara aksesori yang tidak pernah lapuk dimamah zaman. Permintaannya sentiasa ada kerana ia menjadi pilihan, terutama wanita berhijab bagi menggayakannya dengan tudung atau mungkin dijadikan sebagai perhiasan sederhana pada baju.

Bagi yang kreatif, kerongsang sememangnya boleh dipelbagaikan cara pemakaiannya dan boleh menjadi pelengkap gaya, sekali gus menyempurnakan penampilan.

Lebih menarik, kerongsang bukan saja dimiliki dan menjadi pilihan wanita tetapi juga membantu meningkatkan penampilan lelaki.

Misalnya, ia menjadi pilihan aksesori pengantin lelaki sebagai perhiasan pada songkok khususnya, untuk digayakan pada majlis pernikahan agar penampilannya tampak lebih bergaya.

Dengan menambahkan hiasan kerongsang pada songkok, pastinya pengantin lelaki tampil berbeza daripada orang lain. sekali gus memperlihatkan aura seri pengantinnya.


SELAIN disematkan pada tudung, cantik dijadikan rantai.

Dijadikan rantai perhiasan

Kebiasaannya, ramai yang beranggapan kerongsang hanya berfungsi seperti yang biasa dilakukan oleh setiap orang.

Tetapi bagi menambah kepelbagaian fungsi kerongsang itu sendiri, ia kini dihasilkan sebagai rantai perhiasan bagi wanita yang tercaricari penampilan ringkas, berbeza tetapi menawan.

Idea menghasilkan kerongsang sebagai rantai perhiasan itu dicipta oleh pembuat kerongsang, Shahnizan Harun, memandangkan beliau ingin memanfaatkan fungsi kerongsang itu semaksimum yang mungkin.

Katanya, jika sebelum ini pelanggannya hanya menempah kerongsang saja, tetapi kali ini beliau ingin membawakan perubahan dengan menjadikan ia sebagai rantai perhiasan.

Kerongsang daripada manik ini ada peminatnya tersendiri. Setakat ini, Alhamdulillah ramai yang suka dengan dwi fungsi kerongsang ini dan berasa seperti membeli dua produk pada harga berpatutan.

Jika mereka bosan atau inginkan kelainan, mereka boleh menggayakan dengan bermacam cara mengikut kreativiti mereka.


RAMAI yang beranggapan kerongsang hanya berfungsi seperti yang biasa dilakukan oleh setiap orang

Sisi elegan

"Kerongsang yang saya hasilkan adalah daripada manik dan batu kristal. Tetapi ada juga daripada batu swarovski. Biarpun kelihatan tradisional, tetapi rekaan dihasilkan mengikut permintaan pelanggan dan kebanyakan motif dihasilkan ialah berbentuk bunga," katanya.

Selain itu, bagi memastikan koleksi kerongsang dihasilkan itu memberi impak kepada penampilan seseorang, beliau menekankan tiga elemen iaitu warna, bentuk dan bahan digunakan.

Ketiga-tiga elemen itu saling berkait rapat agar dapat menyerlahkan lagi sisi elegan dan eksklusif.

Pilih kepadanan

Bagaimanapun, katanya ada ketikanya tidak semua kerongsang sesuai dipakai pada fesyen tertentu kerana tidak padan untuk digayakan pada busana dipakai. Oleh itu, individu itu sendiri perlu bijak dalam berpenampilan.

"Jika tersalah pilih busana, ia boleh menenggelamkan penampilan seseorang dan dilihat tidak kena pada pakaian yang digayakan," katanya.


PEMBUAT kerongsang, Shahnizan Harun.

Info

Kerongsang rekaan Shahnizan Harun

  • Dihasilkan daripada manik, batu kristal dan swarovski.
  • Rekaan tekankan tiga elemen iaitu warna, bentuk dan bahan.
  • Dijual pada harga bermula RM15 hingga RM160
30 dibaca
Berita Harian X