Selasa, 4 November 2014 | 6:44pm
BINTANG tengah Bayern Munich dan Belanda, Arjen Robben ketika pertembungan Bundesliga menentang Borussia Dortmund di Munich,1 November lepas. - Foto AFP

Bayern kekal waspada nanti kunjungan Roma

BERLIN: Bayern Munich bersedia melalui jalan singkat di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dengan melakar kemenangan ke atas kelab Itali, AS Roma, awal pagi ini.

Kemenangan di laman sendiri, Munich Arena akan mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati buat gergasi Jerman itu sekalipun masih berbaki dua perlawanan.

Bayern sebelum ini merekodkan kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Juara di tempat lawan selepas membenam Roma 7-1, bulan lepas dan gah menghuni kedudukan teratas Kumpulan E dengan mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan.

Begitupun, ia tidak bermakna Bayern akan menempuh perlawanan yang mudah menentang Roma yang jelas bersedia bangkit selepas kekalahan memalukan di laman sendiri itu.

"Ada kalanya kami bermain permainan bola sepak yang hebat namun masih ada ruang untuk meningkat," kata bintang Bayern dan Belanda, Arjen Robben. "Kami menang di Roma 7-1 dan menewaskan Dortmund.

"Namun kami perlu kekal kritikal, meningkatkan segala-galanya, tidak leka dan berfikir ia akan terjadi dengan sendirinya. Kami berada di laluan yang baik."

Juara Jerman, Bayern ketika ini sudah menang 12 daripada 15 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini, tiga seri dan kekal dengan rekod tanpa kalah.

Begitupun, apa yang lebih menggembirakan jurulatih Bayern, Pep Guardiola ialah persembahan dua pemain sayapnya, Robben dan Franck Ribery kembali pulih daripada kecederaan. - Reuters

66 dibaca
Berita Harian X