Jumaat, 27 Mei 2016 | 3:52pm

Kadar zakat fitrah di Pahang RM7 - MUIP

KUANTAN: Kadar zakat fitrah di Pahang ditetapkan RM7 tahun ini iaitu kekal sejak 2013, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Beliau berkata sebanyak 968 amil zakat telah menerima tauliah untuk memikul tanggungjawab mengutip zakat di seluruh Pahang.

"Sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

"Mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika didapati bersalah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Abdul Wahid juga menasihatkan semua individu yang wajib untuk membayar zakat supaya melaksanakan tanggungjawab itu kerana menjadi kesalahan mengikut Seksyen 40 enakmen sama jika gagal berbuat demikian.

Mereka yang disabitkan bersalah sengaja tidak membayar zakat fitrah boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, katanya.

Pada sidang media sama, Wan Abdul Wahid turut memaklumkan MUIP akan menyalurkan bantuan bernilai RM3.6 juta kepada golongan asnaf fakir dan miskin berjumlah RM3.6 juta sebagai persediaan menyambut hari raya.

"MUIP juga menyalurkan bantuan am Ramadan kepada masjid-masjid di negeri ini untuk tujuan pengimarahan masjid sempena bulan puasa dan semua umat Islam adalah digalakkan untuk bersolat sunat Tarawih secara berjemaah sepanjang Ramadan," katanya. - BERNAMA

19 dibaca
Berita Harian X