Sabtu, 28 Mei 2016 | 12:01am
DIANA Danielle mahu anak-anaknya memahami kepayahan mencari rezeki dan tidak sewenang-wenangnya berbelanja wang. Foto Nik Hariff Hassan
PELANCARAN Kafe Born & Bread's yang dikongsi Diana bersama tiga lagi rakan kongsi adalah usaha demi masa depan. Foto Nik Hariff Hassan

Diana Danielle bangga dengan Che Mad



EMPAT tahun berlalu, bintang jelita Diana Danielle Danny Beeson, kini bahagia dengan dua cahaya mata iaitu Muhammad yang menginjak usia tiga tahun dan Aurora yang berumur tujuh bulan.

Makin matang dan bijak merencana kehidupan, Diana Danielle, 25, yang juga suri hati aktor, Farid Kamil, ini tidak pernah kesal atas segala tindakan dan keputusan dibuatnya dalam hidup.

Jika ramai yang skeptikal apabila dia bernikah pada usia yang dianggap masih mentah, Diana Danielle berjaya membuktikan tanggapan mereka salah.

"Mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu pada usia muda bukanlah sesuatu yang mudah. Tanggungjawab yang dipikul pada usia 21 tahun banyak mengajar saya untuk menjadi lebih matang dalam menjalani rutin harian.

"Biarpun tidak mempunyai asas atau pengalaman sebagai ibu, namun secara semula jadi naluri keibuan itu ada dalam diri. Saya bertuah kerana dikurniakan anak lelaki sulung, Muhammad yang bijak dan petah berkata-kata sepertinya.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih kerana Allah mengurniakan anak pertama yang comel. Ramai juga yang bertanya bagaimana Muhammad berkomunikasi dalam nada lembut dan sopan santun seperti itu. Namun, saya sendiri tiada jawapannya," katanya kepada BH.


SELEPAS empat tahun bergelar isteri, Diana Danielle kini semakin matang dan bijak merencanakan kehidupan di sisi suami, Farid Kamil dan dua anak mereka.


Diana Danielle bersama Muhammad.

Che Mad kumpul peminat sendiri

Keletah dan perwatakan anak sulung pasangan selebriti Diana dan Farid Kamil menjadi perhatian di laman sosial Instagram.

Malah, Muhammad atau nama gelarannya, Che Mad, bijak menuturkan bicara dan melindungi ibunya pada usia tiga tahun.

"Saya sering tertawa dengan keletah spontan Muhammad. Ini kerana kadang kala perangainya tidak seperti budak kecil. Saya banyak meluangkan masa bersamanya kerana tidak mahu terlepas sebarang momen indah melihat dia membesar.

"Dia juga begitu menyayangi adik perempuannya yang masih kecil. Saya tersentuh dengan sikap 'protective' (pelindung) yang dimilikinya," katanya.

Rancak bercerita, Diana Danielle memberitahu, anak lelakinya itu akan tampil dengan koleksi pakaian sempena Aidilfitri.

"Saya ingin dia memahami erti kepayahan mencari rezeki dan tidak sewenang-wenangnya membelanjakan wang begitu saja.

"Biarpun baru berusia tiga tahun, saya ingin mendidik Muhammad sejak awal lagi. Wang itu nanti boleh disalurkan kepada tabung pendidikannya," kata Diana.


Muhammad dan Aurora bersama ayahnya, Farid Kamil.

Buka kafe selepas ikut kata hati

Menceritakan perkembangan terbaharunya, pelakon filem Kami Histeria itu berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan dengan membuka sebuah kafe, Born & Bread's, di ibu negara.

Diana menjelaskan dia tidak mempunyai alasan tertentu memilih untuk melabur dalam perniagaan restoran. Sebaliknya, apa yang dilakukan adalah mengikut kata hati. Diana menceburi bidang perniagaan demi masa hadapan.

Tiga lagi rakan kongsi Born & Bread's adalah Arslan Zolkifli, Farhana Osman dan Khalil Firuz.

Kata Diana, dia tertarik dengan konsep kafe yang bukan sahaja menyediakan makanan enak, sebaliknya premis untuk mengeratkan hubungan di antara rakan dan keluarga.

"Kami juga ada menyediakan ruang untuk kanak-kanak bermain, persembahan komedi pada hujung minggu selain pelbagai menu sesuai dengan cita rasa pelanggan.

"Saya rasa cukup berbaloi dengan pelaburan yang saya buat selepas melihat hasilnya yang semakin maju sejak dibuka pada 31 Januari lalu," ujarnya.

3622 dibaca
Berita Harian X