Ahad, 29 Mei 2016 | 3:56pm

Babak rogol hanya lakonan - Amar Baharin


AMAR Baharin.

KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Baharin meminta peminat supaya tidak mengambil serius rakaman video babak rogol membabitkan dirinya dan Tiz Zaqyah kerana ia hanya lakonan dalam drama, Akadku Yang Terakhir.

Amar atau nama sebenarnya, Amar Mohd Baharin, 31, berkata, babak kontroversi itu tidak langsung mempamerkan mereka beraksi ghairah, lantas membuatkan dirinya terkilan apabila masyarakat cenderung menilainya dari sudut negatif.

"Pada asalnya, pengarah drama itu iaitu Amie Maziah memuat naik rakaman video terbabit sekadar promosi di Instagram. Tidak disangka, ia akan dikongsi ramai hingga menjadi viral.

"Saya tidak faham apabila babak 'rogol' yang lebih menjurus kepada lakonan dan kami masih lengkap berbaju dianggap lucah. Saya pelik mengapa ia dipertikai sedangkan semua tahu itu hanya lakonan semata-mata?," katanya.

Minggu lalu, rakaman video panas itu menjadi viral hingga mencetuskan kegelisahan netizen yang melontarkan pandangan, babak berkenaan tidak sepatutnya dilakonkan kerana tidak sopan dan dianggap menyinggung sensitiviti penonton.

Menjelaskan lagi isu itu, Amar berkata babak terbabit hanya sekadar perkongsian pengarah di Instagram dan tidak disiarkan di kaca televisyen kerana sudah dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Babak itu sudah dipotong LPF kerana dianggap tidak sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Pengarah sengaja memuat naik setiap penggambaran babak bagi mempromosikan karyanya. Saya terkejut mengapa hanya babak itu yang menjadi bualan sedangkan video lain langsung tidak dijadikan isu," katanya.

Ditanya adakah ia sengaja dilakukan sebagai strategi bagi menaikkan lagi jumlah tontonan drama itu, Amar menafikannya namun mengakui, gara-gara isu itu, drama berkenaan mendapat jumlah tontonan yang agak tinggi.

Dalam perkembangan lain, Amar masih lagi menyelesaikan baik penggambaran tiga episod terakhir drama terbitan Global Station yang masih ditayangkan di Astro Ria, setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang.

373 dibaca
Berita Harian X