Ahad, 29 Mei 2016 | 10:44pm
Anggota Unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pulau Pinang melakukan siasatan di seluruh kawasan rumah yang terlibat dengan kes tumpahan cecair merkuri di Kampung Baru, Tasek Gelugor. - Foto Amir Irsyad Omar

Bomba akan bersihkan ladang sawit tempat simpan merkuri


Anggota Unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pulau Pinang melakukan siasatan di seluruh kawasan rumah yang terlibat dengan kes tumpahan cecair merkuri di Kampung Baru, Tasek Gelugor. - Foto Amir Irsyad Omar

TASEK GELUGOR: Ladang kelapa sawit Bukit Tok Alang di sini, yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan cecair merkuri yang mencemari beberapa rumah di kawasan itu semalam, akan dibersihkan.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, M Vijayan, berkata maklumat mengenai lokasi penyimpanan merkuri itu diperoleh berdasarkan keterangan saksi dan pemeriksaan pihaknya di kawasan terbabit.

"Operasi membersihkan enam rumah yang dicemari cecair merkuri selesai kira-kira jam 8 malam ini dan bomba sudah berjaya mengenal pasti kawasan penyimpanan bahan kimia itu.

"Kami akan menyambung kerja pembersihan di ladang berkenaan bermula 9 pagi esok. Setakat ini kita belum kenal pasti pemilik bahan kimia itu," katanya di sini malam ini.

Katanya, seramai 26 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi pembersihan bahan kimia itu hari ini, yang turut dibantu Pasukan Unit Bahan Berbahaya Bomba (Hazmat) dari Ibu Pejabat JBPM Putrajaya.

Operasi pembersihan nyah cemar yang dilakukan di enam rumah itu membabitkan prosedur dan bahan tertentu bagi memastikan ia selamat dihuni semula.

"Kami sudah membersihkan rumah itu dengan menggunakan agen sulfur serta bahan peluntur.

"Selepas selesai kerja pembersihan kita akan serahkan rumah kepada penghuni untuk tindakan seterusnya, tapi ketika ini penghuni rumah masih di hospital kerana dalam pemerhatian Jabatan Kesihatan," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian penduduk terdedah kepada merkuri itu adalah disebabkan masyarakat tidak arif dan mengetahui tentang bahaya merkuri yang boleh menjejaskan fungsi otak.

Dalam kejadian petang semalam, seramai 15 penduduk di Jalan Padang Menora, Kampung Baru di sini dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kerana dikhuatiri terdedah kepada cecair merkuri.

Penduduk berkenaan dilaporkan memberitahu bahan itu dibawa balik oleh anak mereka yang menjumpainya tidak jauh dari kawasan rumah mereka.

- BERNAMA

73 dibaca
Berita Harian X