Rabu, 1 Jun 2016 | 11:48am

Bahaya ancaman militan Daesh terhadap negara

TANGGAL Jun 2014, dunia dikejutkan dengan kenyataan kumpulan Daesh yang menyatakan sebuah sistem khalifah didirikan di muka bumi ini, kembali. Ketuanya, Abu Bakar al-Baghdadi, menyebut bahawa beliau adalah ketua buat kesatuan Islam dunia dan umatnya, yang berjumlah 1.6 bilion, dari Maghribi ke China dan Indonesia, kini mempunyai kewajipan mematuhi dan memberi baiah kepadanya.

Apa yang menyebabkan kebangkitan secara mendadak Daesh adalah lantaran konflik di Syria pada 2011 serta aspirasi Arab Spring yang menular di Asia Barat. Umat Ahli Sunnah Wal Jamaah di bumi Syria, yang sekian lama ditekan rejim Bashar al-Assad, mewujudkan penentangan bersenjata, dan akhirnya apa yang berlaku adalah konflik berdarah yang mengorbankan ratusan ribu manusia dan tidak menampakkan tanda berakhir hingga kini.

Keinginan untuk turut menyertai konflik peperangan itu kelihatan amat menarik minat masyarakat dan lebih malang lagi, telah menyaksikan idea keganasan dan penyertaan ke dalam Daesh diromanticised menerusi penerbitan media mereka serta diberikan pemahaman serta gambaran yang salah akan erti sebenar jihad.

Sebahagian ulama menyatakan, apa yang berlaku di Syria dan Iraq, di bawah penguasaan Daesh tidak lain tidak bukan, adalah fitnah di zaman ini dan menyeleweng daripada syariah. Ancaman Daesh ini meliputi beberapa aspek, yang mana sisipan rencana kali ini akan menyentuh dua daripadanya, yakni potensi penularan ideologi keganasan dari kelompok pejuang yang pulang ke tanah air mereka dan kebarangkalian serangan keganasan di tanah air sendiri.

Sasar muda-mudi

Ia juga ada kaitan dengan penggunaan media sosial oleh kumpulan ini secara terancang, menarik dan memenuhi cita rasa kumpulan sasaran mereka iaitu antaranya muda-mudi.

Antara kerisauan utama adalah merujuk kepada Pejuang Pengganas Asing (FTF) dan agenda atau ideologi yang dibawa kembali oleh mereka ke negara asal. Keadaan ini, khasnya kepada rantau ASEAN, bukanlah suatu fenomena baharu. Pada 1980-an, ramai lelaki muda Asia Tenggara ke Pakistan dan Afghanistan untuk membantu penduduk tempatan menentang penjajahan Soviet di Afghanistan.

Sebar ideologi menyeleweng

Namun, apa yang membimbangkan adalah penyebaran ideologi yang menyeleweng daripada fahaman syariat yang sebenar dengan kewujudan kumpulan serpihan, antaranya seperti al-Qaeda dan Jabhat Al Nusra. Lebih padah daripada itu, pembawaan dan pengembangan pemahaman ini turut membabitkan aspek taktik peperangan gerila dan rangkaian perhubungan dengan kumpulan pengganas seperti Jemaah Islamiyah (JI), yang bertanggungjawab terhadap sebahagian besar serangan keganasan peringkat tertinggi di rantau ASEAN dalam 15 tahun kebelakangan ini.

Kebimbangan ini amat nyata, terutama dalam kalangan kerajaan di Asia Tenggara - memandangkan jika wujud kelompok yang digelar FTF hasil dari serpihan peperangan di Afghanistan dahulu, yang membangkitkan ideologi dan rangkaian keganasan seperti JI, maka apatah lagi, kemungkinan lebih teruk fenomena FTF ini yang akan terhasil daripada konflik perang di Syria dan Iraq masa kini.

Kebanyakan ahli Daesh dari Asia Tenggara ini pada mulanya menyertai suatu gerakan sayap militan khas bernama Khatibah Nusantara. Sayap militan ini juga berperanan dalam mengembangkan ideologi dan sesi pengambilan pejuang dari rantau Nusantara, lalu memberikan gambaran sebuah ancaman bersifat francais tempatan, sama ada negara mahupun rantau ini, seperti mana tindak-tanduk Boko Haram dan Al-Shabab di Afrika.

Lantaran, konsep pembelajaran menerusi internet, khasnya Google mahupun tunjuk ajar video dan bukan melalui pihak berautoriti tradisional, semakin mendapat tempat, termasuk dalam kaedah pembelajaran dan pencarian ilmu atau maklumat berkaitan hal ehwal agama. Ulama dan fatwa daripada majlis agama kini mulai dipinggirkan sedikit demi sedikit dan digantikan rujukan yang memihak kepada personaliti media sosial yang memberikan makluman, kadangkala bersifat lebih kreatif, bergaya dan alternatif.

Walaupun pada dasarnya, hal ini boleh diraikan kerana ia menimbulkan kepelbagaian suara dan merancakkan kaedah pembelajaran, timbul persoalan dan kerumitan apabila ia tidak bersumberkan ilmu sebenar, apatah lagi dalam persekitaran yang ideologi esktremisme ini tidak dikawal atau terlalu dikawal lalu membawa kepada golongan yang berkemungkinan terpengaruh dengan ekstremisme.

Kejadian terrorisme, baik dalam skala besar mahupun kecil, yang dapat dilihat pada 2016 ini sahaja, secara berterusan, dari Turki, Pakistan, Belgium dan lainnya, tanpa mengira kaum, fahaman dan agama, membangkitkan gambaran ketegangan agama dan keganasan pada peringkat global.

Komuniti dunia yang saling hidup bersama kini dalam keadaan tegang dan timbul unsur ekstremisme, akibat tindak-tanduk Daesh yang menimbulkan kemarahan, ketakutan, kegelisahan, baik antara sesama Islam mahupun dengan bukan Islam.

Jadi, bagi menggerakkan suatu gerakan efektif dan mengembalikan suatu semangat perdamaian, agensi yang berkaitan, baik dalam dan luar negara, perlu mewujudkan suatu gerakan sinergi, mengamalkan sesi bekerjasama dalam tiga aspek iaitu mengekang radikalisme, penggubalan akta-akta zon konflik, dan melakukan sesi engagement dengan penyokong dan pejuang yang tertangkap dari segi rehabilitasi dan integrasi.

1619 dibaca
Berita Harian X