Khamis, 9 Jun 2016 | 2:46pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff.

Wanita perlu kemahiran asas bidang keusahawanan

JOHOR BAHRU: Wanita perlu mempunyai kesedaran mengenai kemahiran asas dalam aktiviti perniagaan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup menerusi bidang keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff, berkata inisiatif menggalakkan lebih ramai wanita berkemahiran dilaksanakan menerusi program keusahawanan yang tertumpu kepada golongan ibu tunggal dan berpendapatan rendah dalam usaha meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

Katanya, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Johor dengan kerjasama agensi terpilih termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) dalam usaha menyediakan bantuan kewangan kepada golongan sasar, sekali gus membantu usaha mengembangkan perniagaan memasarkan produk ke pasaran tempatan serta peringkat global.

"Program kemahiran seperti Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNita) antara usaha bagi memantau keberkesanan bantuan dan usaha tambahbaik terhadap kebajikan wanita.

"Sehingga tahun lalu, seramai 577 wanita menerima Bantuan Geran Pelancaran (BGP) dan bantuan peralatan, selain setakat ini seramai 4,756 peserta terbabit dalam 230 kursus keusahawanan.

"Inisiatif pelaksanaan program berkenaan menunjukkan seramai 1,412 wanita berjaya meningkatkan pendapatan mereka sehingga 50 peratus berbanding sebelumnya, sekali gus menjadi langkah permulaan yang baik bagi menjana pendapatan tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan program Restyle dan Business Matching, di Dewan Besar Taman Sinar Harapan Jubli, Jalan Datin Halimah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPW Johor, Mohamad Ali Taib.

Dalam pada itu, sempena program berkenaan, Asiah berkata, ia menjadi antara platform bagi meningkatkan sosio ekonomi wanita, sekali gus memartabatkan perjuangan wanita dalam usaha meningkatkan ekonomi negara.

Katanya, program yang diperkenalkan itu tidak memerlukan kemahiran yang tinggi, sebaliknya inisiatif masing-masing dalam membuktikan keyakinan diri bagi kesenangan masa hadapan.

400 dibaca
Berita Harian X