Isnin, 13 Jun 2016 | 9:15am

2 maut kereta bertembung MPV


Keadaan Honda Civic remuk selepas terbabit kemalangan dengan MPV di Jalan Baru Kulim-Baling, menyebabkan pemandu dan penumpangnya maut, malam tadi - Foto Ihsan Pembaca

BALING: Dua maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Baru Kulim-Baling berhadapan Hentian Rehat & Rawat (R&R) Tawar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kereta Honda Civic dinaiki mangsa bertembung dengan Nissan Grand Livina dari arah Baling ke Kulim.

Pemandu Honda Civic, Abdul Rahim Zakaria, 32, dari Kampung Banggol Setang, dekat Sungai Limau, di sini, maut di tempat kejadian, manakala penumpang, Shahdiana Kamis, 30, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, dekat sini.

Pemandu dan penumpang Nissan Grand Livina yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Lagenda Padang Serai di Kulim, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata kereta dipandu Abdul Rahim dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian depan sebelah kanan MPV berkenaan.

208 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »