Isnin, 13 Jun 2016 | 12:25pm
Pelakon, Eina Azman belum bersedia kembali aktif berlakon bagi memberi sepenuh tumpuan kepada cahaya matanya, Karl Kareef dan Arianna Aubrey.

Peminat tegur Eina Azman 'hantu' cili api


Minatnya terhadap makanan pedas mengundang pelbagai komen di akaun Instagram miliknya.

KUALA LUMPUR: Pelakon Eina Azman tidak menyangka resipi masakan untuk suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, 37, di laman sosial Instagram miliknya sering mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 21, berkata niat baiknya berkongsi rutin memasak di rumah juga meraih komen yang banyak terutama apabila membabitkan hidangan atau lauk pauk pedas.

"Ramai menanyakan resepi untuk memasak dan saya mengambil pendekatan menunjukkan cara menyediakan hidangan mengikut selera sendiri. Kami sekeluarga penggemar tegar makanan pedas malah cili padi menjadi kemestian dan dimasukkan dalam jumlah yang banyak.

"Tidak kena rasanya dengan selera jika juadah itu tidak pedas. Malah, suami saya yang dahulunya kurang makan pedas akhirnya terpengaruh. Namun saya tidak sangka ramai memberikan komen dan nasihat supaya jangan terlebih mengambil cili.

"Saya faham mereka bimbang kesihatan saya dan keluarga. Apa pun terima kasih di atas sikap prihatin mereka. Saya mengambil positif komen yang ditinggalkan di hampir setiap video yang dimuat naik," katanya.

Sementara itu, Eina menjelaskan dia belum bersedia menerima tawaran berlakon berikutan faktor usia anak kembarnya, Karl Kareef dan Arianna Aubrey yang baharu mencecah empat bulan.

"Memang sukar berenggang dengan buah hati kami membuatkan saya terpaksa menolak tawaran berlakon apatah lagi apabila perlu bekerja di luar kawasan. Suami juga menolak ke luar daerah bagi memastikan dia dapat bersama keluarga selepas waktu pejabat.

"Buat masa ini saya belum membuat keputusan bila mahu kembali aktif dalam bidang lakonan. Mungkin selepas raya kerana buat masa ini tumpuan lebih kepada keluarga," ulasnya lagi.

1955 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »