Sabtu, 18 Jun 2016 | 2:54pm

Wanita parah kereta diseret treler


KEADAAN sebuah kereta Proton Wira yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang mengakibatkan seorang wanita cedera di Jalan Ulu Bendul-Kuala Pilah. - Foto Amran Yahya

KUALA PILAH: Seorang wanita parah selepas keretanya bergesel dan diseret sebuah treler di Kilometer 21 Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Hutan Lipur Ulu Bendul di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun, tersepit di dalam keretanya sebelum dikeluarkan pengguna jalan raya dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, untuk rawatan lanjut.

Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa cuba membuat pusingan U tanpa menyedari kehadiran sebuah treler tanpa muatan di belakang keretanya.

"Pemandu treler tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian tepi kereta mangsa menyebabkan dia parah pada kepala dan beberapa bahagian badan," katanya di sini, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Adnan Yaacob, berkata sepasukan lima pegawai dan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Sebaik tiba, kami dapati mangsa sudah dikeluarkan orang awam dan kami membantu memastikan keadaannya stabil sebelum dihantar ke HTAN menaiki ambulans," katanya.

362 dibaca
Berita Harian X