;
Rabu, 22 Jun 2016 | 6:44pm

Lebih RM1.95 juta nilai kompaun dikutip JPJ Kedah

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah merekodkan kutipan kompaun lebih RM1.95 juta melalui 10,578 kes yang dijelaskan pesalah lalu lintas melalui 'Hari Pengarah Bersama Pelanggan' sejak Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff, berkata melalui program diperkenalkan JPJ Kedah pada Januari lalu, pesalah lalu lintas yang menjelaskan kompaun di cawangan JPJ pada setiap Rabu, berpeluang memperoleh diskaun antara 30 hingga 50 peratus.

Mengulas lanjut, beliau berkata JPJ menerima maklum balas yang amat positif melalui program itu apabila RM1,958,904 nilai kompaun dijelaskan pesalah lalu lintas.

"Pada setiap Rabu, mana-mana pesalah lalu lintas yang dikenakan kompaun oleh JPJ berpeluang mendapat diskaun sehingga 50 peratus jika membayarnya di lima cawangan JPJ dari jam 2 hingga 4.30 petang.

"Semua jenis saman kecuali AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik) boleh dijelaskan di cawangan JPJ dan berpeluang mendapat diskaun berkenaan padq setiap Rabu," katanya kepada pemberita, di sini tadi.

Terdahulu, beliau bersama kakitangan JPJ mengagihkan hampir 900 bungkus bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di hadapan Kompleks JPJ negeri Kedah, di sini tadi.

Pada masa sama, selain cawangan Alor Setar, pesalah lalu lintas boleh tampil di JPJ Baling, Sungai Petani, Langkawi dan Kulim untuk menjelaskan kompaun masing-masing.

Sementara itu, mengenai operasi bersepadu perayaan yang akan dimulakan pada 29 Jun hingga 14 Julai, Ismasuhaimi, berkata, JPJ Kedah akan menurunkan 167 anggotanya bagi rondaan di seluruh negeri.

Katanya, melalui operasi itu, JPJ mensasarkan untuk mengurangkan 100 peratus jumlah kemalangan maut di lebuh raya manakala 50 peratus membabitkan jalan utama dan negeri.

317 dibaca
Berita Harian X