Selasa, 11 November 2014 | 4:45pm

UMNO: Akta Hasutan, sekolah vernakular antara tumpuan perbahasan

KUALA LUMPUR: Isu berhubung Akta Hasutan, sekolah vernakular, agama dan pindaan Fasal 3 Perlembagaan UMNO menjadi tumpuan utama perbahasan perwakilan pada Perhimpunan Agung parti itu bermula 25 September ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia berdasarkan 755 usul yang diterima daripada 191 bahagian sempena perhimpunan itu, termasuk 638 usul untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas.

Katanya, daripada jumlah usul untuk rujukan itu, 81 usul berkaitan pindaan perlembagaan parti, 87 usul politik, 67 usul ekonomi, 74 usul agama, 170 usul sosial, 121 usul pendidikan dan 38 lagi lain-lain usul.

"Beberapa topik yang dijangka menjadi tumpuan termasuk berkaitan status Akta Hasutan, sekolah vernakular serta pindaan Fasal 3 perlembagaan parti dan isu agama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Penyediaan Usul Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Ibu Pejabat UMNO, sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Usul MKT berkata pihaknya juga sudah menerima senarai jurucakap daripada setiap negeri yang akan membahas usul pada perhimpunan berkenaan.

Beliau menjelaskan tidak semua jurucakap yang dipilih berpeluang membahaskan usul, bagaimanapun kuota pembahas bagi mewakili negeri, sayap, Kelab UMNO Luar Negara serta mahasiswa masih ada dan akan dikekalkan.

Menyentuh mengenai penubuhan pasukan khas atau task force khusus untuk meneliti dan menyemak usul, beliau berkata ia bagi membolehkan semua usul dibangkitkan di peringkat bahagian dijawab segera.

Malah, katanya, pasukan diketuai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirleen itu mempunyai jalinan kerjasama erat dengan kementerian serta agensi kerajaan dan ia sudah pasti membantu dalam menyegerakan urusan melaporkan perkembangan serta kemajuan usul yang dibangkitkan bahagian.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha pimpinan untuk menjadikan UMNO lebih inklusif dan demokratik," katanya.

46 dibaca
Berita Harian X