;
Ahad, 3 Julai 2016 | 9:00am

Farid teruja anak lelaki turut bangun sahur


Pelakon, Farid Kamil dan isteri, Diana Danielle pada Tayangan Perdana Astro sempena Hari Raya di Hotel Majestic. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Aktor, Farid Kamil mengakui bulan puasa kali ini memberi seribu ketenangan buat dirinya apabila anak sulungnya, Muhammad, turut sama bangun untuk bersahur bersama-sama.

Farid berkata, dia sememangnya teruja dengan kecenderungan anak lelakinya itu untuk menjalani ibadat berpuasa pada usia muda.

Biarpun tidak mampu menjalani ibadat berkenaan seperti orang dewasa, namun keinginan ditonjolkan menyejukkan hatinya.

"Saya rasa Ramadan kali ini lebih memberikan ketenangan jiwa apabila anak saya, Che Mad (panggilannya untuk Muhammad) turut sama bangun ketika bersahur. Dia menjadi penyejuk hati dapat menjadi penyambung legasi sebagai umat Islam untuk berpuasa.

"Biarpun bangun awal untuk sahur, Che Mad tetap akan makan sarapan kerana kurang memahami konsep berpuasa, namun saya menghargai keinginannya untuk bangun awal dan turut serta bersahur," katanya.

Seperti tahun sebelumnya, Farid memilih untuk mengurangkan pembabitan dalam bidang seni pada bulan puasa. Pelakon itu sebaliknya lebih memberikan fokus kepada ibadat dan keluarga.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri pula Farid berkata, dia menyerahkan segala-gala kepada isterinya, Diana Danielle, untuk melakukan persiapan.

"Saya menyerahkan kepada Diana untuk memilih tema kami pada tahun ini kerana dia lebih pakar, namun apa yang saya dapat lihat baju anak kedua kami, Aurora, sudah pun tersedia. Mungkin keterujaan membuat persiapan untuk anak perempuan berlainan berbanding anak lelaki," katanya.

983 dibaca
Berita Harian X