Ahad, 17 Julai 2016 | 7:37am

Keganasan bukti ideologi IS makin menular


TRAK yang merempuh orang ramai dengan trak pada Hari Bastille di Nice. - Foto EPA

KEGANASAN terus berlaku. Kali ini ketika sambutan Hari Bastille atau hari kemerdekaan Perancis, mengorbankan berpuluh-puluh orang. Keganasan seolah-olah tidak terhenti sejak serangan di Paris, Brussels dan Istanbul dan kini di Nice pula. Malaysia juga tidak terkecuali beberapa minggu lalu apabila sebuah pusat hiburan di Puchong diserang bom.

Pengesahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bahawa serangan bom tangan di situ didalangi kumpulan militan IS atau Daesh atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, turut mengejutkan kita.

Dua lelaki tempatan yang ditahan berhubung dengan insiden tersebut mengaku mereka memperoleh bom tangan dari negara jiran untuk melakukan serangan.

Kita jangan lupa juga serangan terhadap sebuah kafe popular di kalangan rakyat asing di Dhaka, Holey Artisan Bakery, Bangladesh, juga dikatakan membabitkan seorang bekas pelajar sebuah universiti swasta negara kita yang menimbulkan tanggapan kononnya Malaysia bukan sahaja menjadi pusat dan transit bakal militan malah sasaran mereka yang terpengaruh dengan ideologi IS yang bertapak di Syria dan Iraq.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara terbuka malah berharap ramai pelancong mengunjungi negara kita, kerajaan akan menghadapi kerumitan mengawal masuk keluar orang yang terpengaruh dengan fahaman IS. Jadi, kerajaan harus ambil langkah keselamatan termasuk mengkaji semula pengeluaran visa kepada rakyat asing bagi membendung kemasukan militan.

Dalam soal ini, mungkin perlu diperketatkan kelulusan visa pelajar dan prosedur pemberian visa agar pelancong dan pelajar. Semua ini bagi memastikan sikap toleransi antara kaum terus terlindung daripada fahaman militan. Keharmonian rakyat berbilang agama bukan sahaja teras kekuatan malah menjadi penggerak kepada kemajuan dan pembangunan rakyat dan negara.

Ideologi IS mesti ditolak. Tambahan pula, Malaysia adalah negara contoh bagi dunia Islam dalam soal pentadbiran negara malah hingga berjaya menyatupadukan rakyat berbilang agama menikmati kesejahteraan bersama.

Pada masa sama, rakyat Malaysia, perlu mengambil iktibar daripada pengalaman negara yang terjebak dalam kancah kemelut politik dan keganasan.

Negara terbabit porak peranda hingga hal ehwal politik tidak stabil, rakyat tidak aman, wanita dan kanak-kanak terancam dan tidak selamat keluar dari rumah bimbang diserang mereka yang terpesong dengan ideologi keganasan.

Oleh itu, rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan fahaman politik kepartian, perlu bertekad bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membendung ancaman ideologi keganasan dan ekstremisme yang kian menular terutama di kalangan anak muda yang sepatutnya menjadi benteng, kekuatan serta harapan bangsa dan negara pada masa akan datang.

Rakyat yang cintakan keamanan wajar menolak ideologi keganasan berasaskan pemesongan ajaran agama Islam yang pada akhirnya mengancam masyarakat Muslim sendiri apabila ramai orang Islam di Syria dan Iraq menjadi pelarian.

Di Malaysia, walaupun pihak berkuasa khususnya pasukan polis berkemampuan untuk mengawal dan membendung penyebaran ideologi keganasan, rakyat Malaysia juga perlu sama-sama bertanggungjawab dalam menangani ancaman keganasan.

Penulis ialah Pensyarah Komunikasi Strategik, Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak

148 dibaca
Berita Harian X