Ahad, 17 Julai 2016 | 2:50pm

Peniaga didenda gagal keluar invois GST

KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik kedai perkakasan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana tidak mengeluarkan invois cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada Mei tahun lalu.

Muhd Saupi Shahari, 32, turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Rofiah Mohamad selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 33(2)(a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 782) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 96 akta sama.

Mengikut pertuduhan, Muhd Saupi yang berdaftar mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) yang membuat pembekalan bercukai, didakwa tidak mengeluarkan invois cukai di premis itu di Kampung Wakaf Mempelam, di sini, jam 10.45 pagi pada 20 Mei tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Terengganu, Mohd Redzuan Hamdan.

41 dibaca
Berita Harian X