Jumaat, 22 Julai 2016 | 4:56pm

Hatta teruja Yuna kongsi kisah kebaya di Vogue.com

KUALA LUMPUR: Hatta Dolmat berkongsi rasa bangga apabila penyanyi lagu Crush, Yuna menceritakan persediaan mencari bahan tekstil untuk dibuat baju raya bersama pereka fesyen itu dikongsi di laman web majalah antarabangsa, Vogue.com.

Menerusi artikel berkenaan, pelantun lagu Crush yang berduet dengan Usher itu menyatakan kepulangan ke tanah air memberi kesempatan kepadanya untuk menyiapkan persalinan sempena sambutan Syawal termasuk sepasang kebaya buatan tangan Hatta.

Sebagai pereka yang menjadi pilihan penyanyi terbabit, Hatta meluahkan keterujaan apabila selebriti yang juga teman baiknya berkongsi pengalaman bersamanya di laman popular itu.

Beliau kemudian berkongsi artikel di Vogue.com itu di laman Instagramnya, @hattadolmat_ diserta kapsyen ringkas.

"Teruja hendak muat naik cerita ini (merujuk kepada paparan skrin cerita di Vogue.com). Untuk orang Malaysia lihat sini, dia (Yuna) patut kita banggakan dan terus disokong kerjaya seninya. Terima kasih Yuna. Tidak terfikir langsung cerita ini akan dipaparkan di Vogue.com," tulis Hatta.

Hatta yang turut menjadi pilihan ramai selebriti tempatan untuk menghasilkan busana mereka adalah antara pereka fesyen kegemaran penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat itu.

676 dibaca
Berita Harian X