;
Ahad, 31 Julai 2016 | 12:08am
TERDAPAT juga pelbagai jenis tumbuhan boleh ditemui di sepanjang laluan menuju puncak Gunung Irau. - Foto Fazrol Nasir
SUASANA mistik berkabus dan pemandangan hijau iaitu 'Mossy Forest' menuju puncak Gunung Irau. - Foto Fazrol Nasir

Hilang penat di puncak Gunung Irau


GUNUNG Irau terkenal kerana hutan lumutnya. Suasananya yang diseliputi kabus membuatkan suhu sepanjang pendakian ke puncak terasa nyaman. - Foto Fazrol Nasir

GUNUNG Irau tidak pernah putus daripada kunjungan pelancong dan pengembara lasak.

Irau adalah puncak tertinggi di Cameron Highland yang terkenal sebagai destinasi percutian tanah tinggi popular di Malaysia.

Mendaki gunung ini menjadi sebahagian daripada pakej percutian yang ditawarkan oleh hotel atau ejen pelancongan di Cameron Highland.

Setiap hujung minggu, tidak kurang daripada 100 orang mendaki gunung ini semata-mata untuk mencari kepuasan dan keseronokan berada di atas puncak sambil menghirup udara segar dan pemandangan Banjaran Titiwangsa yang mempersonakan.

Tambahan pula cuaca nyaman dan sejuk sehingga kadang-kadang 'cakap sampai keluar asap' apabila berada di puncak Gunung Irau membuatkan pendakian ke gunung ini sebagai aktiviti menyeronokkan.


GUNUNG ini pernah ditutup daripada sebarang aktiviti pendakian kerana jalan atau track yang rosak teruk. - Foto Fazrol Nasir

Tidak sukar kalau cergas

Gunung Irau terkenal kerana hutan lumutnya. Suasananya yang diseliputi kabus membuatkan suhu sepanjang pendakian ke puncak terasa nyaman.

Gunung ini mengandungi hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Melengkapkan pendakian dan turun dari Gunung Irau mengambil masa sehari suntuk.

Mendaki Gunung Irau tidaklah sukar kerana bagi mereka yang benar-benar cergas boleh sampai ke puncak kurang daripada tiga jam.

Banyak maklumat boleh diperoleh dalam blog dan internet mengenai aktiviti pendakian ke gunung ini.

Penulis sendiri yang mahu merasai pengalaman mendaki ke Gunung Irau berkesempatan menyertai aktiviti ini yang dianjurkan oleh Brotherhood Oudoor Team (BOT).

Diketuai oleh Mohamad Syafami Nasir, aktiviti ini disertai oleh 40 peserta, kebanyakannya baru pertama kali melakukan aktiviti mendaki gunung.

"B.O.T ditubuhkan tahun lepas (2015) walaupun kebanyakannya anggotanya sudah aktif mendaki sejak tahun 2010. Selepas didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan, matlamat kami adalah menarik orang muda melakukan aktiviti outdoor dengan cara betul dan selamat.

"Hari ini kita lihat ramai orang muda meminati aktiviti bercuti atau mengembara sambil melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung," katanya.


2,110 meter - Tinggi puncak Gunung Irau.

Meriah di puncak

Trek yang basah, berselut dan licin memperlahankan pendakian ini. Malahan, langkah berhati-hati perlu diberi perhatian ketika hendak turun kerana setiap akar kayu yang licin boleh mengundang risiko tergelincir.

Kira-kira empat jam mendaki dengan berhati-hati dengan sebahagiannya baru pertama kali menyertai aktiviti ini, barulah semua tiba di puncak Gunung Irau dengan cuaca yang agak sejuk walaupun ketika itu jam menunjukkan sudah lebih 12.30 tengah hari.

Pelbagai ragam dan gelagat, tetapi paling menarik apabila anggota B.O.T mewujudkan suasana mood Hari Raya dengan menyediakan nasi himpit dan gulai ayam panas membuatkan suasana di puncak menjadi meriah pula.

Kira-kira 40 minit kemudian, masing-masing bergerak untuk turun pula kerana mesti sampai ke bawah sebelum gelap.


GUNUNG ini pernah ditutup daripada sebarang aktiviti pendakian kerana jalan atau track yang rosak teruk. - Foto Fazrol Nasir

Tiada tong sampah

Gunung Irau diletakkan di bawah pengurusan dan pentadbiran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Gunung ini terletak dalam mukim Brinchang.

Gunung ini pernah ditutup daripada sebarang aktiviti pendakian kerana jalan atau track yang rosak teruk.

Pada hujung minggu ketika ramai orang datang memasuki kawasan ini, tiada seorang pun kakitangan dari Jabatan Perhutanan berada di pintu masuk untuk mengawal atau mengawasi pendaki yang berdaftar dengan jabatan ini atau sebaliknya.

Mengawal pengunjung atau pendaki adalah langkah terbaik, tetapi tiada pihak yang ditugaskan untuk mengawasi kemasukan pendaki.

Sesiapa saja boleh masuk walaupun terdapat papan datang mengingatkan sesiapa yang mahu melakukan aktiviti pendakian Gunung Irau perlu melaporkan kepada Jabatan Perhutanan dan dikenakan bayaran masuk RM5.

Daripada pengamatan penulis, tiada tong sampah besar yang sepatutnya disediakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang atau Majlis Daerah Cameron Highland sedangkan ia adalah destinasi yang sentiasa dikunjungi pelancong dan pendaki.

Akibat ketiadaan tong sampah, pendaki yang membawa sampah dari puncak terpaksa membuang di tempat yang tidak sepatutnya.

FAKTA NOMBOR

  • 2,032 meter - Ketinggian Mini Irau
  • 2,110 meter - Tinggi puncak Gunung Irau
  • 1,829 meter - Paras ketinggian Cameron Highland
  • 2.4 km - Anggaran jarak pendakian sehala hingga ke puncak
241 dibaca
Berita Harian X