Selasa, 2 Ogos 2016 | 1:37pm

Kementerian beli 2 helikopter - Noh


DATUK Seri Noh Omar.- Foto Muhammad Sulaiman

PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta TPG Aeronautik Sdn Bhd (TPG Aeronautik) hari ini menandatangani kontrak perolehan dua unit helikopter Agusta Westland (AW189).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata helikopter buatan Itali itu adalah untuk kegunaan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi kerajaan lain.

"Kos pembelian dua helikopter ini ialah RM201 juta dan akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan unit pertama dijangka siap pada Ogos 2017 dan kedua pada April 2018.

"Kelengkapan bantuan udara JBPM ini bertujuan memberi perkhidmatan yang cekap lagi berkesan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Helikopter ini juga bagi bantuan ambulans udara kepada agensi lain seperti Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan lain-lain," katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mantek, menandatangani kontrak bagi pihak kementeriannya, manakala TPG Aeronautik diwakili Pengarahnya, Tengku Ezrique Ezzuddean A Esfandiari, sambil disaksikan Noh.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

123 dibaca
Berita Harian X