Jumaat, 5 Ogos 2016 | 12:00am
PELAKON, Elfira Loy. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
ELFIRA masih menerima banyak tawaran untuk berlakon, cuma buat masa sekarang dirinya agak cenderung untuk mengacara program TV. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Elfira tidak kisah hilang kontrak kerana tudung


TINDAKAN untuk menutup aurat yang juga antara langkah diambilnya dalam usaha menjadi muslimah sejati bukanlah perkara mudah dilakukan oleh pelakon, Elfira Loy.

Nekad dengan keputusan itu, pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 22, berkata beliau enggan berpatah balik biarpun beberapa produk yang menampilkan dirinya sebagai duta menarik balik kontrak dipersetujui.

Pelakon yang juga bekas pengacara program Mad Markets itu berkongsi, keputusan untuk berhijab dibuat ketika meraikan hari jadi ke-21 pada 8 Mac tahun lalu.

"Bukan mudah untuk saya menetapkan hati memilih untuk berhijab kerana pelbagai andaian dan kemungkinan bermain di benak fikiran. Apabila sudah membuat keputusan untuk bertudung, saya enggan memandang ke belakang lagi.

"Ada pihak yang menerima keputusan saya untuk bertudung, namun ada juga yang kurang bersetuju dan menarik balik tawaran menampilkan saya sebagai duta produk. Namun ia sama sekali tidak menggugat keputusan saya untuk berhijab.


ELFIRA sedar hakikat kerjaya seninya sedikit sepi kerana ingin memberikan keutamaan kepada tahun akhir pengajian. - Foto Munira Abdul Ghani


ELFIRA membuat keputusan untuk berhijab ketika meraikan hari jadi ke-21 pada 8 Mac tahun lalu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Alhamdulillah, saya melihat perkembangan industri seni semakin positif apabila penerbit dan pengarah lebih terbuka menerima kehadiran pelakon bertudung, berbanding dulu. Saya amat gembira dengan perkembangan ini," katanya kepada BH.

Menafikan dakwaan semakin tenggelam dengan kehadiran bintang berhijab lain, Elfira menjelaskan, beliau sendiri memilih pendekatan untuk meletakkan fokus kepada pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

"Saya sedar hakikat kerjaya seni saya sedikit sepi kerana ingin memberikan keutamaan kepada tahun akhir pengajian. Saya tidak mahu mengambil risiko mengabaikan pelajaran hingga terpaksa menangguhkan konvokesyen.


SEJAK setahun yang lalu, Elfira sudah mengurangkan aktiviti lakonan, sebaliknya lebih suka memberi tumpuan terhadap bidang perniagaan selain pengajian. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Dalam pada itu, saya turut menerima undangan berlakon dalam dua telefilem yang bakal bersiaran tidak lama lagi. Saya pula tidak menerima tawaran yang memakan masa terlalu panjang kerana tidak mahu mengganggu waktu diperuntukkan untuk mengulang kaji," ujarnya.

Menurut si cantik berkening tebal ini, beliau masih menerima banyak tawaran untuk berlakon, cuma buat masa sekarang dirinya agak cenderung untuk mengacara program TV.

Tambah Elfira lagi, sejak setahun yang lalu beliau sudah mengurangkan aktiviti lakonan, sebaliknya lebih suka memberi tumpuan terhadap bidang perniagaan selain pengajian.

Biarpun timbul kebimbangan peminat melupakannya sebagai pelakon, apatah lagi ketika ini ramai bakat pelapis semakin menonjolkan diri, beliau tetap percaya pada rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah.

97 dibaca
Berita Harian X