Isnin, 8 Ogos 2016 | 12:53pm

3 cedera, bas naik bukit berundur


BAS yang terbabas ke kawasan belukar di tepi jalan menyebabkan tiga penumpang cedera ringan di kepala dan tangan.

REMBAU: Tiga penumpang cedera ringan apabila sebuah bas yang membawa tujuh pekerja kilang wanita tiba-tiba berundur di Jalan Bukit Miku ke Kampung Batu di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.45 pagi itu, bas kilang yang dipandu seorang pemandu lelaki dalam perjalanan dari arah Bukit Miku ke Bukit Batu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata siasatan awal mendapati bas itu mengalami kerosakan brek dan tiba-tiba berundur ketika menaiki jalan berbukit itu.

Katanya, bas itu kemudian terbabas ke kawasan belukar di tepi jalan menyebabkan tiga penumpang cedera ringan di kepala dan tangan.

"Empat penumpang lain dan pemandu tidak cedera. Mereka yang cedera kemudian dihantar ke sebuah klinik kesihatan berhampiran," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, memberitahu pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada jam 7.02 pagi dan seminit kemudian, sepasukan anggota seramai sembilan orang dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pasukan itu tiba pada jam 7.13 pagi dan membantu penumpang dan pemandu bas keluar dari kenderaan itu.

33 dibaca
Berita Harian X