Ahad, 14 Ogos 2016 | 9:30pm

Lima kereta musnah dalam kebakaran


KEADAAN kereta yang terbakar di hadapan sebuah bengkel di Jalan Utarid D, Seksyen U5, Shah Alam, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Lima kereta yang diparkir di hadapan sebuah bengkel musnah dalam kebakaran di Jalan Utarid D, Seksyen U5 di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.57 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

Bomba yang tiba ke lokasi tiga minit kemudian mengambil masa hampir sejam bagi mengawal api daripada merebak ke bahagian lain bengkel dan api dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 5 petang.

"Pemeriksaan mendapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana bengkel ini tidak beroperasi pada hari minggu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, lima kereta yang musnah ialah jenis Proton Wira, Satria, Perdana dan Juara serta Nissan Cefiro.

"Nilai kerugian membabitkan lima kenderaan dianggarkan bernilai RM200,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X