Jumaat, 19 Ogos 2016 | 3:32pm

Gosip cinta dengan Emma lumrah anak seni - Nazrief


Pelakon, Nazrief Nazri (kiri) dan Emma Maembong. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nazrief Nazri, tidak mudah melatah apabila namanya dikaitkan menjalinkan hubungan rapat dengan artis jelita, Emma Maembong, 25.

Nazrief atau nama sebenarnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 25, berkata beliau bagaimanapun tidak terkejut apabila namanya terpalit dengan gosip sedemikian kerana ia lumrah kehidupan sebagai anak seni.

"Saya tidak mahu melatah apabila timbul gosip sebegini kerana tahu ia adalah perkara biasa apabila bergelar anak seni. Gosip timbul apabila kami hadir ke sebuah acara dengan berpakaian sedondon dan memuat naik gambar bersama.

"Sememangnya saya dan Emma merancang untuk berjumpa pada majlis itu atas tujuan mempromosikan drama berjudul Nasi Minyak Kuah Cinta yang menggandingkan kami berdua sebagai teraju utama.

"Sejujurnya, kami baharu saja menjayakan sebuah babak bersama, namun tanpa dialog. Begitupun, saya sendiri kurang maklum mengenai status Emma bersama teman lelakinya, Kamal Adli," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, sebuah ruangan pojok mendakwa Emma dan Nazrief sedang mengenali hati budi masing-masing setelah digandingkan bersama dalam drama terbabit.

Emma bagaimanapun menafikan gosip berkenaan dan berpendapat ia kurang sesuai diperkatakan berikutan insiden samun yang menimpa bapanya, Ismail Maembong, 68, baru-baru ini.

869 dibaca
Berita Harian X