Sabtu, 20 Ogos 2016 | 3:27pm

Selepas diejek, Arsenal sedia berbelanja


PENGENDALI Arsenal, Arsene Wenger. - Foto EPA

LEICESTER: Arsene Wenger berkata Arsenal 'sedia membelanjakan wang' dalam pasaran perpindahan, selagi ia dilakukan dengan cara yang betul ketika skuad bimbingannya bersiap untuk pertemuan menentang penyandang juara, Leicester City, malam ini.

The Gunners diejek di Stadium Emirates, Ahad lalu selepas tewas 4-3 kepada Liverpool dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Ketika Per Mertesacker dan Gabriel Paulista cedera dan Laurent Koscielny masih belum cergas susulan Euro 2016, Wenger terpaksa menyenaraikan pemain muda Rob Holding dan Calum Chambers di posisi pertahanan.

Akibat ketandusan di bahagian itu menyebabkan pengendali dari Perancis itu dipersalahkan, namun dia segera menafikan dakwaan bahawa dia tidak mahu membelanjakan wang kelab itu bagi mendapatkan pemain baharu.

"Anda (media) begitu yakin bahawa saya tidak akan membelanjakan wang, tetapi saya boleh memberi jaminan bahawa kami bersedia untuk berbelanja," kata Wenger.

"Dengan membeli saya tahu boleh mengurangkan sedikit kemarahan peminat, sudah pasti, tetapi saya juga perlu pastikan... ia amat penting untuk kami berbelanja dengan cara yang betul."

Leicester mungkin masih merasai kekalahan mengejut 2-1 kepada Hull City minggu lalu, tetapi mereka menerima tonik terbaik selepas bintang Algeria Riyad Mahrez menandatangani kontrak baharu, baru-baru ini.

Ia sekali gus merencatkan percaturan Arsenal untuk mendapatkannya dan bos Leicester, Claudio Ranieri mengharapkan Mahrez untuk meningkatkan permainannya ke satu tahap yang lebih tinggi.

"Kami kini beraksi di Liga Juara-Juara dan kami memerlukan pemain yang berkualiti untuk berdepan pasukan besar. Kini dia tahu dengan jelas apa yang saya mahukan dan jangkaan saya semakin tinggi." - AFP

236 dibaca
Berita Harian X