Ahad, 21 Ogos 2016 | 12:06am
EMMA enggan membiarkan bapanya berseorangan dan bergilir-gilir bersama adik-beradik menjaga ayah di rumah kakak sulungnya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
EMMA mengaku kerap menangis siang dan malam memikirkan kesihatan ayahnya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
LAPORAN dalam BH mengenai Ismail ditetak.

Kes ayah ditetak ubah diri Emma Maembong

KUALA LUMPUR: Insiden ayah yang juga pelukis terkenal negara, Ismael Maembong ditetak dan disamun di bangunan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) di Jalan Bukit Petaling di ibu negara, baru-baru ini, memberi iktibar buat pelakon jelita ini.

Sejak kejadian malang pada 11 Ogos itu, Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismael, 24, mengaku kerap menangis siang dan malam memikirkan kesihatan ayahnya.

Apatah kali ketika fikiran melayang membayangkan bagaimana insiden itu berlaku, ia menambah lagi kegusaran di lubuk hatinya.

"Usia ayah dalam lingkungan 60-an. Dia berjalan menggunakan tongkat. Jadi, dalam keadaan kesukaran berjalan, masih ada yang sanggup mencederakan ayah. Saya tak dapat membayangkan orang itu memukul dan menetak kepala ayah dengan parang.

"Apabila saya tidur sebelah ayah, saya dapat lihat kesan lebam di badannya. Itu yang membuatkan saya bertambah sayu. Bayangkanlah, sebelum ini dia bangunpun terasa sakit tulang belakang, apatah lagi selepas dipukul.

"Nyawa saya bagaikan dicabut ketika melihat keadaannya yang berlumuran darah ketika melihatnya di hospital tempoh hari. Saya tak mahu perasaan gusar seperti itu bertandang lagi," katanya.


EMMA bersama ahli keluarga berkumpul di Hospital Kuala Lumpur untuk menziarahi bapanya yang dirawat selepas disamun di Rumah GAPENA Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur. - Foto Yazit Razali

Melukis dengan jari berjahit

Berikutan kejadian malang itu, Emma enggan membiarkan bapanya berseorangan. Emma bersama adik-beradik bergilir-gilir menjaga ayah di rumah kakak sulungnya.

Malah, mereka tidak membenarkan ayah pulang ke rumah sehingga jahitan dan bengkak di badan pulih.

"Keadaan ayah beransur pulih tapi jarinya yang dijahit, masih lagi terasa sakit. Ayah ada beritahu, bahunya yang dihentak kadang-kadang berdenyut.

"Biarpun begitu, ayah tetap gigih melukis. Disebabkan itu, tangannya kadang-kadang berdenyut. Bayangkanlah, apabila saya pulang ke rumah selepas habis bekerja dalam jam 2 hingga 3 pagi, ayah menunggu saya di depan rumah sambil melukis.

"Pastinya seseorang ayah akan sentiasa beritahu dirinya baik-baik saja kerana tidak mahu anaknya risau," kata anak kesembilan daripada 11 beradik itu.

Hargai insan tersayang


EMMA menasihatkan masyarakat sentiasa menjaga insan tersayang.

Terkesan dengan apa yang dialaminya, Emma menasihatkan masyarakat sentiasa menjaga insan tersayang. Bukan ibu bapa saja, malah insan di sekeliling. Ini kerana baginya, pada bila-bila masa saja Allah mampu menarik nyawa mereka.

"Apabila peristiwa ini menimpa saya, ia membuatkan saya lebih menghargai insan kesayangan. Bukan saja memberi impak kepada saya, malah kepada ayah.

"Sentiasalah beringat, malang itu di mana-mana tanpa mengira waktu. Ayah saya diserang pada siang hari dan dalam sekelip mata saja. Sebab itu kita perlu sentiasa beringat dan saling menjaga keselamatan antara satu sama lain," katanya.

Emma ditemui pada sesi fotografi di Sri Pentas, Bandar Utama, sempena promosi drama terbaharunya, Nasi Minyak Kuah Cinta.

Emma masih lagi terikat dengan penggambaran drama itu di Kuala Lumpur. Ia akan ditayangkan menerusi slot Zehra, TV3, Oktober depan.

Serah kepada Tuhan jodoh dengan Kamal Adli

gn4id:15592965

Berkongsi mengenai hubungannya bersama pelakon, Kamal Adli, Emma memberitahu, dia tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.

Tatkala Kamal berkongsi pada BH Online bahawa dia menyayangi dan mahu memperisterikan Emma, baru-baru ini, gadis jelita ini mahu menyerahkan soal itu kepada ketentuan Allah.

Emma enggan memberi komen berlebihan, risau kelak memakan diri.

"Untuk hal ini, tidak manis rasanya saya sebagai perempuan memberi komen berlebihan. Cuma bagi pihak saya, kalau betul jodoh saya bersama dia, dengan izin Tuhan kami akan bersatu, suatu hari nanti.

"Kalau mengimbas balik kenyataan yang pernah saya beri, saya tidak pernah mengatakan kami sedang bercinta. Cuma saya nyatakan saya mengenali Kamal dan sampai sekarang saya masih lagi sedang mengenali dia.

"Jadi, sekiranya hubungan kami tidak jadi, tidak timbulnya isu. Tapi kalau sampai ke jenjang pelamin, saya bersyukur. Kalau jodoh tak kesampaian, saya akur dia bukan jodoh saya," katanya.

Mahu jaga ayah


JARI Ismail yang dijahit akibat ditetak.

Selepas peristiwa yang menimpa ayahnya, Emma mahu memberi perhatian yang lebih kepada keluarganya daripada memikirkan soal jodoh.

"Mungkin dulu saya rasa sudah bersedia untuk berkahwin. Tapi selepas apa yang terjadi pada ayah, saya mula berfikir, jika saya berkahwin, siapa yang akan menjaga ayah?

"Ayah bukanlah penghalang untuk saya berkahwin. Jika saya sudah berkahwinpun, saya pasti boleh menjaga dia. Tapi buat masa sekarang, biar saya fokus dengan ayah dulu.

"Bagaimanapun, saya tetap akan berkahwin suatu hari nanti. Cuma pasangannya masih menjadi tanda tanya. Biarlah saya berjalan mengikut arus," tambahnya sambil mengharapkan yang terbaik untuk dirinya dan Kamal.

Emma turut menolak dakwaan hubungannya bersama Kamal kian keruh. Akuinya, dakwaan sesetengah pihak kononnya mereka bergaduh, adalah tidak benar.

Menurut Emma, dia dan Kamal masih keluar bersama. Malah, jika ada masa terluang, Emma akan menyokong Kamal yang menyertai program realiti, Super Spontan.

INFO

  • Emma muncul Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 29), Mei lalu.
  • Drama terbaharu, Nasi Minyak Kuah Cinta akan mula ditayangkan, Oktober depan.
  • Emma menghidupkan watak wartawan dikenali sebagai Rosmia dalam drama terbabit.
  • Emma dan Kamal akrab hampir dua tahun lalu. Mereka pernah digandingkan beberapa kali dalam drama sebagai teraju utama.
  • Emma berkongsi ayahnya tidak boleh mandi kerana jahitan di kepala dengan tangan tidak boleh terkena air.
  • Kenangan membawa ayah mandi di sungai baru-baru ini cukup menyeronokkan dan membuatkan Emma lebih menghargai keluarga.
2212 dibaca
Berita Harian X