Rabu, 24 Ogos 2016 | 7:59pm
PENGERUSI Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk Sri R Sanjeevan.- Foto Addam Yusoff

Pengerusi MyWatch sekali lagi ditahan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan, sekali lagi ditahan, kali ini atas kesalahan menggunakan kelayakan akademik palsu bagi tujuan menipu.

Penahanan Sanjeevan disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, sebentar tadi.

Acryl Sani berkata, Sanjeevan ditahan di Medan Damansara, dekat sini pada jam 6.15 petang oleh sepasukan anggota dan pegawai dari JSJK Bukit Aman dan Kuala Lumpur.

"Kes siasat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 kanun sama," katanya.

Sebelum ini, Sanjeevan dan pemandunya, seorang warga India, ditahan mengikut Seksyen 506, Seksyen 384 dan 385 Kanun Keseksaan kerana dikata melakukan ugutan jenayah serta peras ugut dekat Plaza Tol Nilai pada 22 Jun lalu.

Dia ditahan berikutan laporan polis dibuat seorang pengadu, yang mendakwa suspek mengugut menyebarkan fitnah terhadapnya menerusi laman sosial Facebook.

531 dibaca
Berita Harian X