Khamis, 25 Ogos 2016 | 9:21pm

Organisasi besar wajar sediakan pusat jagaan kanak-kanak - PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Chew Mei Fun dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun semasa merasmikan MamaCare selepas berucap pada Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu organisasi yang mempunyai jumlah pekerja agak besar memberi keutamaan untuk mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat masing-masing.

Beliau berkata, ini untuk kemudahan pekerja terutamanya tenaga kerja wanita yang mempunyai tanggungjawab untuk menjaga anak mereka.

"Saya mahukan kelulusan penempatan lokasi pusat penjagaan kanak-kanak di bangunan-bangunan komersial perlu diselesaikan segera," katanya pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di sini hari ini.

Katanya, walaupun beliau gembira pihak swasta menyediakan pusat penjagaan itu di bangunan komersial, namun mahu inisiatif itu terus ditambah baik menerusi kerjasama antara swasta dan kerajaan.

Mengenai kadar penyertaan tenaga kerja wanita, Najib berkata pada tahun lalu kadar di peringkat nasional telah mencecah tahap 54 peratus manakala di sektor awam pula telah melebihi sasaran pada 57.22 peratus.

Najib turut percaya antara kaedah yang paling berkesan untuk meningkatkan pendapatan purata sesebuah isi rumah B40 adalah dengan menyediakan peluang dan bantuan kepada suri rumah memasuki pasaran pekerjaan ataupun perniagaan.

Katanya, kerajaan telah mewujudkan beberapa program dan inisiatif untuk memartabatkan kedudukan ekonomi wanita antaranya penubuhan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Program 1AZAM.

Beliau berkata, program dan inisiatif itu telah membantu hampir 2.5 juta wanita dengan jumlah pinjaman mikrokredit dan bantuan melebihi RM13.5 bilion sejak 2009.

"Yang lebih mengagumkan lagi, 98 peratus daripada wanita-wanita ini berjaya membayar balik pinjaman mereka dengan sepenuhnya! Syabas," katanya dengan disambut tepukan gemuruh daripada para wanita yang hadir di majlis itu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan secara berterusan akan giat untuk meningkatkan peratusan tenaga kerja wanita di peringkat pengurusan tertinggi sektor awam dan korporat.

Setakat April 2016, katanya, 34 peratus daripada pengurusan tertinggi perkhidmatan awam, iaitu jawatan JUSA C dan ke atas adalah wanita.

"Namun, pencapaian sektor korporat sedikit ketinggalan, iaitu hanya 26 (pemegang jawatan) pengurusan tertinggi bagi keseluruhan syarikat senaraian awam adalah wanita bagi tahun lalu berbanding sasaran 30 peratus yang ditetapkan.

"Manakala bagi 100 syarikat senaraian awam teratas pula, pencapaian adalah sebanyak 28 peratus," katanya.

Najib turut menyentuh mengenai tema Hari Wanita Kebangsaan 2016 iaitu 'Sepadu Usaha, Tiada Wanita Ketinggalan' yang disifatkannya tepat bagi menyokong usaha kerajaan dalam memastikan golongan wanita tidak ketinggalan di dalam arus pembangunan negara.

Beliau berkata, ia juga menyokong usaha kerajaan menggemblengkan kesemua sektor termasuk masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan untuk berganding bahu agar kaum wanita turut menikmati hasil peningkatan ekonomi negara.

"Tiada siapa dapat menafikan betapa besarnya dan pentingnya peranan wanita sama ada sebagai penjawat awam, usahawan, profesional ataupun sebagai seorang isteri dan ibu," katanya. - BERNAMA

100 dibaca
Berita Harian X