Rabu, 31 Ogos 2016 | 7:27pm

Sharifah Sakinah lebih suka melabur berbanding barangan berjenama


PELAKON, Sharifah Sakinah. - Foto Shiraz Yasmine Ali

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Sakinah, mengaku dirinya tidak terlalu terikut-ikut dengan fesyen mewah, sebaliknya lebih suka berjimat cermat demi masa depan.

Wanita yang dikenali dengan sikap 'gila-gila' ini berkata, dirinya bukanlah penggemar koleksi barangan berjenama antarabangsa, malah tidak kisah menggayakan apa saja yang dirasakan selesa serta sesuai dengan dirinya.

"Saya tidak berapa gemar menggayakan koleksi barangan berjenama, sebaliknya lebih selesa memakai barangan yang murah saja. Saya tidak mahu terlalu ikut 'trend' fesyen semasa kerana lebih suka fokus pada dunia pelaburan dan hartanah.

"Bagi saya, membeli rumah jauh lebih bagus dan berfaedah daripada mengejar barangan atau fesyen yang mahal-mahal.

"Saya suka berjimat-cermat. Kalau pun saya mahu bergaya lebih sikit, saya akan pinjam barang kakak-kakak saya," seloroh adik kepada dramatis, Sharifah Norazleenda, dan pelakon yang juga pengacara, Sharifah Shahirah, ini ketika ditemui pada majlis anjuran Astro di ibu kota, baru-baru ini.

Sakinah juga mengaku dirinya tidak memerlukan kereta apabila berada di ibu kota. Malah, katanya, kereta miliknya diberikan kepada pembantu peribadi dan dirinya kini lebih gemar menggunakan perkhidmatan Uber.

"Bukannya kedekut, tetapi saya rasa saya tidak perlukan kereta apabila tinggal di ibu kota. Akibat selalu tersangkut dalam kesesakan jalan raya, saya rasa penat untuk memandu. Apatah lagi hendak mencari ruang meletak kereta yang terbatas.

"Jadi, ke mana saja saya pergi, saya akan naik Uber saja," katanya yang kembali aktif dengan kegiatan seni selepas berehat panjang pada Ramadan dan Syawal.

Terbaharu, Sakinah menjayakan penggambaran program travelog bersama Elfira Loy dan Sherry Al-Hadad.

177 dibaca
Berita Harian X