Khamis, 1 September 2016 | 12:09am

Baung tarikan kolam Abang King


SYED Al Shahkhim Mohd Kassim, pemilik Kolam Pancing Abang King di Kampung Sungai Tekali Hulu Langat. - Foto Matzidi Dris

MEMBAWA pulang seberapa banyak ikan untuk dijadikan lauk seperti patin, baung, tilapia, pacu, lampam dan rohu adalah kemuncak kepada keseronokan apabila berpeluang memancing di Kolam Pancing Abang King.

Kebanyakan ikan air tawar di kolam itu, masing-masing seberat kurang dua kilogram (kg) sesuai dijadikan lauk untuk dua hingga tiga orang, sama ada untuk hidangan makan tengah hari atau malam.

Daripada senarai ikan yang terdapat di kolam itu, penulis lebih suka ikan baung, ekoran sejak kecil penulis memang kerap mendapat ikan itu sewaktu memancing sungai di Kampung Serdeng di Sarawak. Ikan lain yang penulis jinakkan pada waktu itu ialah duri, semilang, terusan, pari dan berdukang.

Gunakan umpan campur dedak

Umpan terbaik untuk memancing baung di kolam air tawar, tasik atau sungai di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor ialah umpan tapa, yang bau busuknya tidak dapat digambarkan dengan perkataan.

Ketika berkunjung ke kolam itu, kedengaran kocakan air apabila baung di situ kemaruk umpan pelet dan dedak, bukannya umpan tapa.

Namun, ada kaedah atau resipi rahsia untuk mencampur dedak dan perasa tertentu yang menjadi kegemaran baung di situ.

Pemilik kolam itu, Syed Al Shahkhim Mohd Kassim, 34, berkata kalau bancuhan dedak tepat, pemancing akan pulang membawa lebih 10 baung seberat 600 gram sehingga 1.5 kilogram.

Katanya, ikan terberat dalam kolam itu ialah ikan patin seberat 11 kg dan terdapat 10 ekor.


KADAR bayaran masuk pada waktu siang dan malam adalah berbeza, tidak termasuk RM5 deposit untuk empat jam pertama.

Umpan organ ayam tidak boleh

Kadar bayaran masuk pada waktu siang dan malam adalah berbeza, tidak termasuk RM5 deposit untuk empat jam pertama.

"Pemancing yang datang ke kolam ini tidak dibenarkan menggunakan umpan daripada organ binatang seperti perut, hati dan isi ayam.

"Langkah ini untuk mengelakkan baki umpan dibuang sembarangan yang akan menyebabkan persekitaran berbau busuk," katanya.

Syed Al Shahkhim berkata biarpun kolam ini baru berusia kurang tiga tahun namun sudah mempunyai ramai pelanggan tetap terutama pada hujung minggu dan malam hari.

INFO: Kolam Pancing Abang King

* Lokasi: Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat.

* Waktu Operasi: 24 jam setiap hari (kecuali Jumaat dibuka pada jam 3 petang)

605 dibaca
Berita Harian X