Sabtu, 3 September 2016 | 12:01am

Menggapai karpet awan di Gunung Pulag


PANDAGANGAN di atas puncak Gunung Pulaq.

PELUANG merakamkan gambar menarik 360 darjah Gunung Pulag di daerah Baguio, utara Pulau Luzon, Filipina menjadi idaman kaki gunung termasuk 39 peserta ekspedisi anjuran Kelab Rekreasi dan Kebajikan Media Pahang bersama Kelab Media Pahang, baru-baru ini.

Dennis Ampurta yang menjadi pemandu arah untuk ekspedisi pendakian sudah memaklumkan cuaca di atas Gunung Pulag sukar dijangka kerana ia memiliki micro-climate iaitu sistem iklim tersendiri.

Dia yang kerap mendaki gunung itu juga tidak dapat memberi jaminan bahawa kami berpeluang menikmati panorama indah karpet awan (sea of clouds) dan hamparan padang rumput berwarna kuning keemasan di puncak gunung ketiga tertinggi di Filipina.

"Puncak Gunung Pulag sukar dijangka. Cuacanya berbeza setiap hari. Ia terpulang kepada nasib dan tuah sama ada dapat menikmati pemandangan terbaik atau sebaliknya," katanya.

Ampurta juga menjelaskan bahawa gunung itu turut dianggap keramat dan suci bagi sebahagian besar masyarakat pelbagai etnik yang tinggal di daerah Baguio.


PENGAMAL media dari Kumpulan Media Prima bergambar selepas berjaya ke puncak Gunung Pulag. - Foto Nazirul Roselan

Singgah di bandar pelancongan

Ekspedisi Gunung Pulag ini disertai pengamal media dari Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kakitangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh dan ahli Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (KELEK JB).

Perjalanan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila dengan menyewa van ke bandar Baguio yang terletak di utara Luzon dan mengambil masa kira-kira enam jam. Bandar ini memiliki pemandangan menarik dan menjadi pusat transit bagi pendaki yang mahu ke Gunung Pulaq.

Baguio juga adalah bandar pelancongan tanah tinggi yang menekankan aspek kebersihan dan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk hotel, chalet, pusat beli belah, taman rekreasi untuk dilawati pelancong.


PANORAMA matahari terbenam dirakam di kawasan perkhemahan Kem 2, Gunung Pulag. - Foto Nazirul Roselan

Aktiviti menyesuaikan iklim, cuaca

Selepas sehari di Baguio untuk membuat aktiviti menyesuaikan diri dengan cuaca, suhu dan persekitaran, peserta meneruskan perjalanan seawal jam 7 pagi dengan menaiki Jeepney ke Pejabat Taman Negara Gunung Pulag di Ambangeg. Perjalanan empat jam dengan menempuh laluan bengkang bengkok membuatkan sesiapa yang tidak tahan akan muntah.

Setiap pendaki kemudian diwajibkan mendengar taklimat dan menonton dokumentari mengenai peraturan pendakian di Gunung Pulag.

Kami kemudian meneruskan perjalanan ke stesen renjer iaitu permulaan mendaki Gunung Pulag melalui laluan Ambangeg yang dijangka mengambil masa tiga jam untuk tiba ke tapak perkhemahan di Basecamp 2.

Cabaran hujan lebat, angin kuat

Perjalanan ke Basecamp 2 tidak sukar dengan cuaca yang panas melalui kebun sayur dan lereng bukit sebelum memasuki kawasan hutan berlumut (mossy forest) dan padang rumput.

Ketika mendirikan khemah untuk bermalam, tiba-tiba hujan lebat hampir dua jam dan angin kuat dengan suhu turun mendadak sehingga mencecah bawah tujuh darjah Celcius.

Kira-kira jam 6 petang selepas hujan berhenti, kami dapat menikmati pemandangan matahari terbenam dengan kehadiran pelangi dan puncak Gunung Pulag kadang kala dilitupi kabus menyajikan panorama sangat indah.

Di tapak perkhemahan itu, pihak Taman Negara Gunung Pulag menyediakan kemudahan dua tandas dan terdapat sumber air bersih. Pada malam itu, kami memasak nasi putih, sayur dan kari ayam selain disediakan roti dan kaya.

Selesai makan malam, kami berehat sambil menikmati suasana nyaman dan dingin sebelum memulakan perjalanan menawan puncak bermula jam 3.30 pagi. Kami memakai jaket kalis air dan angin dengan suhu ketika itu di bawah 10 darjah Celsius dan berjaya tiba di puncak Gunung Pulag selepas dua jam perjalanan.

Kami bersyukur kerana cuaca elok dan dapat menyaksikan sendiri suasana matahari terbit di sebalik banjaran gunung serta karpet awan sebagaimana yang sebelum ini hanya melihatnya dalam YouTube.

FAKTA NOMBOR

* 2,922 meter - Ketinggian puncak Gunung Pulag

* 1,540 meter - Kedudukan ketinggian bandar Baguio

* RM52 - Upah porter untuk membawa barang tidak lebih 15 kg

* 528 - Spesies flora dan fauna di Gunung Pulag

INFO

  • Gunung Pulag adalah puncak kedua teringgi di Filipina selepas Gunung Apo yang tingginya 2,954 meter
  • Gunung ini terletak di bawah pengurusan dan penyelenggaraan Mount Pulaq National Park.
  • Terdapat empat laluan mendaki ke gunung ini dikenali sebagai Trek Ambangeg, Akiki dan Tawangan dari Banguet, manakala Trek Ambaguio pula dari Nueva Vizcaya.

431 dibaca
Berita Harian X