Sabtu, 3 September 2016 | 5:59pm

Menangkah Cinta? dedah kisah sebenar artis popular


PENULIS novel, Iman Imran di majlis pelancaran novel Menangkah Cinta di Rumah Kueh, Kota Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penulis lirik Di Pintu Syurga, Iman Imran mengaku, kisah panas dunia artis dan juga gosip semasa menjadi inti pati utama novel sulungnya berjudul Menangkah Cinta?

Iman atau nama sebenarnya Rudy Imran Shamsuddin, 41, berkata pengalaman dua dekad sebagai wartawan hiburan dan sering berdepan dengan pelbagai kontroversi membabitkan golongan artis memberinya inspirasi untuk menghasilkan novel berkenaan.

"Novel ini berkisar mengenai kehidupan seorang pelakon dan juga peragawati terkenal yang menghadapi masalah cinta. Untuk menyokong kehidupan glamornya itu, saya selitkan juga gosip panas yang pernah menggemparkan dunia hiburan seperti kes pergaduhan membabitkan pelakon popular.

"Bagaimanapun dalam novel ini, kes itu saya ubah menjadi satu situasi lain. Saya juga mengetengahkan isu semasa seperti kes wanita disimbah asid seperti yang pernah dilaporkan media massa.

"Pengalaman menjadi wartawan memudahkan lagi penulisan saya untuk novel ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran novel Menangkah Cinta terbitan MindOrder Sdn Bhd yang diadakan di Kota Damansara, semalam.

Hadir sama memeriahkan acara itu adalah penyanyi Dayang Nurfaizah, pelakon Nazrief Nazri, Nadzmi Adhwa, Sandra dan Elvina Mohamad.

Dijolok pertanyaan, tidakkah dirinya gusar jika ada pihak terasa seperti disindir dengan kisah yang dipaparkannya itu, Iman berkata sebagai penulis, dia mematuhi etika yang ada dalam penulisannya itu.

"Saya ubah kisah atau gosip itu menjadi sebuah fiksyen supaya tiada pihak yang terasa atau mendakwa apa yang dipaparkan itu berkisar mengenai dirinya," katanya yang banyak menghasilkan skrip telefilem untuk siaran televisyen.

Ditanya apakah novel ini akan diadaptasikan ke drama TV seperti yang menjadi aliran semasa, Iman berkata, perkara itu memang ada dalam perancangannya.

"Saya dan penerbit sudah berbincang dan usaha ke arah itu juga sudah dilakukan. Berkemungkinan pelakon yang akan membintangi drama ini adalah mereka yang berada di bawah pengurusan MindOrder seperti Nazrief dan Nadzmi," katanya.

Menangkah Cinta? boleh dibeli secara atas talian dengan menghubungi MindOrder di talian 012-3141500 dengan harga RM29.00 (tidak termasuk kos penghantaran).

96 dibaca
Berita Harian X